Permohonan moratorium hari ini
HARI ini hari penting bagi peminjam bank. Bank-bank dan institusi kewangan lain di Malaysia bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk berikan moratorium 6 bulan.
Khabarnya untuk semua peminjam dan tanpa syarat. Syabas kepada Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)!
Awang harap tawaran moratorium itu berjalan tanpa masalah. Terutamanya bagi peminjam biasa.
Tidak kiralah dalam golongan mana mereka berada, baik B40, M40 atau T20.
Kesan pandemik ini tak kenal darjat dan kedudukan. Semua orang terlibat. Sudah lebih setahun pendapatan rakyat terjejas.
Awang cuma nak tegur kemudahan untuk syarikat dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut beritanya moratorium itu ditawarkan tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
Syarikat PKS memang parah sekarang. Kita semua tahu sumbangan PKS kepada ekonomi.
Walaupun syarikat PKS tak menggaji ribuan orang tapi jumlah yang bergantung hidup pada mereka jumlahnya berjuta orang.
Menurut laporan dah lebih 100,000 syarikat PKS yang gulung tikar. Inilah masanya pihak bank bertimbang rasa pada mereka.
Sekiranya makin banyak yang gulung tikar makin ramailah orang yang hilang kerja.
Kita semua tahu banyak syarikat PKS terutamanya milik bumiputera yang tidak dapat bantuan subsidi gaji dan sebagainya.
Janganlah peluang untuk mereka bernafas dinafikan juga oleh pihak bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!