Penghormatan kepada pengulas sukan
BAYANGKAN anda menonton siaran langsung perlawanan bola sepak di televisyen tanpa pengulas.
Anda dapat melihat pemain-pemain saling berkejaran mengejar bola, menggelecek, menanduk, menyambut hantaran, merembat dan sebagainya dengan hanya diiringi sorakan yang tenggelam timbul di stadium. Hanya itu.
Mungkin tidak menjadi masalah jika anda mengenali semua pemain yang beraksi di padang.
Sekurang-kurangnya anda akan tahu siapa membuat hantaran, siapa menanduk, siapa yang menjaringkan gol, siapa menumbuk pengadil dan sebagainya.
Tetapi bagaimana kalau anda tak kenal sesiapa atau hanya kenal seorang dua?
Demikianlah pentingnya pengulas sukan (atau apa juga acara melibatkan siaran secara langsung).
Tidak kira sebesar mana pun televisyen anda, tanpa mereka, siaran langsung yang ditonton akan menjadi seperti kopi ‘O’ yang tiada kopinya.
Itu di televisyen. Jika di radio, saya tak boleh bayangkan bagaimana keadaan siaran langsung tanpa pengulas!
Memang betul, ada yang menganggap pengulas sukan kadang-kala membosankan, misalnya sebab terlalu banyak mengomel dan mengomen.
Perkara seperti ini kerap terjadi disebabkan cara penyampaian pengulas berkenaan tidak menarik.
Pengulas sukan yang hebat boleh menyebabkan penonton terpaku depan televisyen atau di tepi radio tanpa jemu.
Mereka bukan sahaja memberi input berguna, malah mampu membakar semangat dan menghidupkan mood penonton atau pendengar sehingga masing-masing berasa seperti berada di tepi gelanggang.
Pada zaman remaja saya, antara pengulas sukan tersohor ialah Datuk Rahim Razali, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan Allahyarham Zulkarnian Hassan.
Mereka begitu popular sehinggakan dalam keadaan tertentu mereka lebih popular daripada ahli sukan atau pasukan yang diulas.
Setiap mereka ada gaya dan kelebi-han tersendiri. Rahim dengan gaya seorang sifu yang ulasannya tertib dan jelas.
Bagi ramai orang, dia adalah ikon paling ulung bukan sahaja dalam filem dan drama tetapi juga sebagai pengulas sukan.
Hal itu tidaklah menghairankan kerana tokoh ini adalah antara individu awal mempopularkan bidang ulasan sukan.
Rahim mula menjadi pengulas sambilan di RTM sejak 1959 ketika baru lepas menduduki peperiksaan HSC (Sijil Tinggi Persekolahan).
Dia sempat menimba pengalaman kira-kira setahun sebelum menyambung pelajaran ke Australia.
Apabila kembali ke tanah air, dia yang telah berkerjaya tetap, terus berkhidmat secara sambilan sebagai pengulas sukan di RTM.
Dan dialah yang diberi penghormatan menjadi pengulas perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner di Stadium Merdeka pada 1975.
Lunak
Zulkarnian Hassan, seorang lagi pengulas berstatus lagenda sentiasa kelihatan agak formal dan skema tetapi tone suaranya lunak dan jelas.
Penerima Anugerah Khas Meletop Era 2016 itu mengabdikan khidmatnya kepada RTM sejak 1959 sebelum bersara wajib pada 1993.
Dan antara ulasannya yang paling diingat peminat ialah: “Dapat kepada Hasan, masih lagi Hasan, cucuk Hasan, kembali James, peluang untuk James! James! Gol!!”
Ayat itu terbit lancar daripada mulutnya ketika mengulas perlawanan pasukan Malaysia menentang Korea Selatan dalam pertandingan Ke-layakan Olimpik pada 4 April 1980, di mana skuad negara menang 2-1.
Sementara itu Hasbullah pula akan dikenang sampai bila-bila sebagai pengulas bersuara emas yang bijak menggunakan emosi dalam penyampaiannya yang sering dibungai perkataan-perkataan bombastik.
“Bersilat nampaknya Mat Yo di situ” – Piala AFF Suzuki
“Rashid terbang bagaikan kupu-kupu...” – Piala Thomas 1992
“Penyokong Pahang membelah banjaran Titiwangsa untuk datang ke Stadium Bukit Jalil...” – Final Piala FA 2006
Itu antara ulasan penuh emosi yang pernah dilontarkan. Hasbullah mula menjadi pengulas sukan secara kebetulan pada 1978 ketika berusia 26 tahun.
Ketika itu dia berkhidmat di Radio Malaysia Kuantan mengendalikan program Tunas Harapan.
Apabila pengulas hebat pada masa itu, Othman Haji Muhammad tidak dapat datang ke Kuantan untuk mengulas perlawanan Pahang melawan Singapura, Hasbullah diminta menggantikannya.
Dan sejak tugasan pertama itu, dia tidak memandang ke belakang lagi. Kariernya sebagai pengulas sukan menyerlah. Letakkan di bidang sukan apa sekalipun, dia akan mengulasnya dengan baik.
Ilmu
Tidak mudah menjadi pengulas sukan. Ilmu tentang sukan yang hendak diulas harus ada.
Latar belakang individu atau pasukan yang bertanding perlu diketahui. Sebutan perlu dijaga.
Allahyarham Amran Hamid, bekas orang kuat RTM dan antara pengulas sukan tersohor pada tahun 1960-an dan 1970-an pernah bercerita tentang bagaimana sering terjadi orang menyalah sebut perkataan-perkataan tertentu, misalnya semasa Piala Dunia Mexico dahulu nama tempat 'Guadalajara’ kerap disalah sebut dari yang sebenarnya dalam bahasa Sepanyol iaitu 'Gu-a-da-la-ha-ra’.
Nama orang atau pemain juga sering disalah sebut terutama berbangsa Sepanyol atau Portugis.
Satu kesilapan lain yang sering berlaku ialah nama pasukan ‘Totenham Hotspurs’ yang sering disebut mengikut ejaannya sedangkan sebutan yang betul ialah ‘Tot-nem Hotspurs’.
Begitulah. Seseorang pengulas perlukan ilmu yang cukup tentang apa yang akan diulas.
Apatah lagi zaman sekarang, dengan maklumat di hujung jari, kesilapan seseorang pengulas mudah dikesan.
Malulah satu stesen kalau pengulas sukannya asyik salah sebut dan salah fakta.
Untuk berlaku adil pada sejarah, elok kita imbas kembali secara ringkas akar umbi karier menarik ini.
Orang pertama menjadi pengulas sukan di dunia – dan tentunya menerusi radio – Florent Gibson yang mengulas perlawanan tinju antara Johnny Ray dan Johnny ‘Hutch’ Dundee di Motor Square Garden, Pittsburgh Amerika Syarikat pada April 1921.
Di televisyen pula, pengulas sukan pertama bernama Harry Mallin, bekas juara tinju middleweight yang ditugaskan mengulas perlawanan tinju antara England dan Ireland pada 4 Februari 1937.
Di Malaysia, apabila Radio Malaya dipindahkan ke Kuala Lumpur dari Singapura selepas Tanah Melayu merdeka, siaran sukan pada mulanya tidak diberikan keutamaan.
Satu-satunya program sukan ketika itu ialah Arena Sukan yang disiarkan selama setengah jam, seminggu sekali.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, sukan mula diberi tempat. Acara sukan diberi liputan sama ada untuk rakaman atau siaran langsung.
Dan pengulas sukan pertama ialah Allahyarham Mustadza Zaaba.
Daripada Mustadza inilah, ke-mudiannya muncul pengulas lain yang hebat seperti Aziz Ibrahim, Baharin Tahir, Jamaluddin Alias, Amran Hamid, Hashim Lazim, Karim Mohd, Serkawi Jirim, Abdullah Hashim dan ramai lagi.
Menariknya, pengulas pada masa dahulu kebanyakannya serba boleh. Sebahagian besar mereka bermula sebagai juruhebah di RTM.
Tugasan mereka bukan mencakup bidang sukan semata-mata tetapi juga bidang lain.
Bukan pelik jika hari ini Karim Mohd mengendalikan rancangan berbalas pantun, malam esok dia mengulas perlawanan bola sepak dan lusanya pula mengacara program hiburan.
Daripada generasi yang hebat ini muncullah penyambung legasi yang tidak kurang hebatnya seperti Zainal Abidin Rawop, Shauki Kahar, Jasni Shafie dan pengulas-pengulas sukan yang ada sekarang.
Dengan perkataan lain Malaysia tidak pernah kurang dalam melahirkan pengulas yang hebat dan berwibawa.
Ia termasuklah ‘pengulas-pengulas’ di kedai kopi yang tahu serba-serbi.#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!