Bila boleh menang lawan Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KIBARAN bendera putih muncul di mana-mana. Di akhbar dan media sosial, terdapat begitu banyak liputan berita, foto serta video penyerahan bantuan di rumah berbendera putih.

Jika bencana alam seperti banjir menggerakkan pelbagai sukarelawan untuk turun membantu ke kawasan-kawasan yang terjejas, bencana Covid-19 memunculkan lebih ramai lagi kumpulan sukarelawan dan orang perseorangan turun membantu.

Namun, meneliti foto dan video itu, saya terpana bila terpandang rumah-rumah yang mengibarkan bendera putih bukan sahaja rumah kecil, rumah di kawasan setinggan dan rumah pangsa.

Sebaliknya, saya terpandang rumah teres setingkat dan dua tingkat juga mengibarkan bendera putih.

Kelihatan pula antara rumah-rumah itu yang menyimpan kereta berjenama import! Apakah ertinya?

Maknanya, apa yang diperkatakan bahawa kesusahan telah merayap ke golongan M40 memang benar.

Kalau orang kata Covid is real, poverty is also real! Golongan itu telah sampai pada tahap tidak segan lagi memberitahu mereka susah. Mereka kini berdepan realiti yang pahit.

Sewa rumah, ansuran kereta, hutang kad kredit dan pelbagai hutang piutang lagi perlu dilangsaikan. Inilah yang menjadikan mereka susah.

Artikel Berkaitan:

Hari ini orang kaya pun susah. Sebabnya, mereka juga golongan yang meminjam. Malah, golongan berada lebih banyak meminjam daripada golongan marhaen.

Dengan kesukaran untuk menjana pendapatan, golongan kaya boleh lumpuh.

Bukannya mengata golongan kaya dan M40, sebab kita semua berdepan hakikat ini.

Yang senang dan susah kini sama-sama payah. Seolah-olah pandemik sedang menolak kita kembali ke garisan permulaan perlumbaan kehidupan.

Setelah lebih 15 bulan bergelut dengan pandemik, ia adalah peperangan yang belum tentu kalah dan menangnya.

Di medan peperangan Covid-19 di negara-negara luar, belum ada kejayaan mutlak buat beberapa negara. Meskipun ada yang berpesta untuk menyedapkan hati bahawa mereka telah menang melawan Covid-19, bimbang mereka tidak hilang lagi.

Dalam merangka pelan untuk keluar daripada pandemik pertengahan Julai ini, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengakui bahawa ‘Covid-19 masih jauh daripada berjaya.’ Baru bulan lalu, rakyatnya melompat berpesta membuka topeng muka. Di Amerika pula, Presiden Joe Biden mengakui virus belum dapat dihapuskan meskipun hampir semua negerinya sudah melonggarkan peratu-ran pemakaian pelitup muka.

Di China pula, walaupun jumlah kes telah menurun di bawah 50, ia masih diselimuti kebimbangan apabila lockdown di sempadan China-Burma dikuatkuasakan susulan kes meningkat.

Terkini, terdapat pelbagai varian virus dari United Kingdom, India, Afrika, Brazil dan California. Nampaknya peperangan ini akan memakan masa yang makin panjang.

Dalam peperangan biasa, askar akan berperang dengan askar. Masing-masing mahir seni peperangan. Tetapi kita berlawan dengan musuh tak kelihatan.

Dan musuh ini menyerang rakyat, bukannya pasukan tentera.

Pelan Pemulihan Negara boleh berubah mengikut keadaan. Jika sebelum ini kita hampir berjaya menumpaskan Covid-19 dengan kepakaran pasukan frontliners dan sokongan kita juga, berikan sokongan berterusan kepada tim yang sama ini. Apa pilihan yang kita ada?

Mereka yang menjadi contoh, hentikanlah dahulu perangai seolah-olah keadaan biasa-biasa sahaja.

Terdapat segolongan public figure masih berperangai menongkat langit. Rakyat memerhati. Buat kita semua, bersedialah berdepan hari-hari sukar yang panjang.

Berpadalah andainya hendak bergembira, cuma jangan sampai bersikap denial seolah-olah kita kebal daripada jangkitan.

Berdoalah, kerana doa juga adalah sejenis suntikan vaksinasi spiritual.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!