Sabah tuan rumah sambutan Hari Malaysia
KOTA KINABALU - Sabah sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam 16 September ini.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang dilaksanakan secara maya pada selasa.
"Bagi pihak kabinet negeri, kami berterima kasih dan menghargai keputusan kerajaan Pusat atas kepercayaan diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan program ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, kehadiran terhad dianggarkan sekitar 500 orang, bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negeri ini," katanya.
Bung Moktar yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri berkata, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah diadakan bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.
"Pelbagai acara telah disusun termasuk majlis tahlil, persembahan koir, majlis memotong kek dan tayangan montaj.
"Selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, satu persembahan khas daripada artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan 'Malaysia Prihatin' turut dipersembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menangani wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!