Saran pasang CCTV di rumah ibadat: Mohamad Fuzi
KOTA BHARU - Susulan kes provokasi membabitkan rumah-rumah ibadat yang berlaku dalam negara pada akhir-akhir ini, PDRM menyarankan pihak pentadbiran dan pengurusan rumah-rumah tersebut di seluruh negara supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pemasangan CCTV penting dalam membantu siasatan pihak polis sekali gus cepat mengesan pelaku sekiranya berlaku sebarang perkara membabitkan provokasi agama, sebotaj dan kecurian di tempat ibadat terbabit.
Katanya, sekirannya surau, masjid, tokong dan semua rumah ibadat mempunyai CCTV, secara automatik polis dapat mengesan individu yang tidak bertanggungjawab melakukan kesalahan itu.
“Pemasangan CCTV mungkin membabitkan kos yang tinggi, tetapi ini adalah salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk membantu polis dan mana-mana yang berkemampuan boleh pasang CCTV.
“Pada masa sama, kami meminta ketua polis negeri dan daerah untuk memantau isu-isu (agama) yang boleh membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan kepada 174 penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara di Hotel Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!