OCBC bank mulakan program pendaftaran moratorium hari ini

Semua pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh mula mendaftar untuk pengambilan moratorium sama ada untuk menangguhkan pembayaran ansuran selama enam bulan atau potongan ansuran 50 peratus bagi tempoh yang sama. - Foto 123rf
Semua pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh mula mendaftar untuk pengambilan moratorium sama ada untuk menangguhkan pembayaran ansuran selama enam bulan atau potongan ansuran 50 peratus bagi tempoh yang sama. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR- Semua pelanggan individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh mula mendaftar untuk pengambilan moratorium sama ada untuk menangguhkan pembayaran ansuran selama enam bulan atau potongan ansuran 50 peratus bagi tempoh yang sama, menurut OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank).

Dalam kenyataan pada Rabu, OCBC Bank berkata, ia dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad memulakan proses pendaftaran moratorium pada Rabu, antara langkah yang diumumkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Untuk menyertai program ini, pelanggan boleh memohon secara dalam talian di www.ocbc.com.my menerusi proses permohonan yang dipermudahkan.

“Pelanggan perbankan peribadi juga boleh menghubungi talian khas 03-8317 5011, manakala pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana boleh menghubungi talian 03-8317 5200. Talian ini dibuka dari Isnin hingga Jumaat, mulai 9 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Selain program moratorium asas, OCBC Bank turut menawarkan pilihan kepada ahli-ahli kad kreditnya untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh tiga tahun pada kadar faedah/keuntungan lebih rendah supaya mereka dapat menguruskan hutang dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank Datuk Ong Eng Bin berkata, bank itu menyokong semua pelanggan yang terkesan akibat pandemik dan kawalan pergerakan ini, sambil berharap mereka akan terus positif dalam berdepan tempoh yang mencabar.

“Kami menggalakkan mereka yang memerlukan kemudahan pelepasan terbaharu ini untuk mengambil peluang daripada dua pilihan pembayaran balik dengan mendaftar menerusi saluran dalam talian yang mudah dan ringkas,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!