Ribut setengah jam rosakkan hampir 500 rumah di Terengganu

Kerja-kerja membaik pulih kediaman rosak di Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang di Hulu Terengganu telah dimulakan sejak pagi Rabu.
Kerja-kerja membaik pulih kediaman rosak di Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang di Hulu Terengganu telah dimulakan sejak pagi Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Hujan lebat serta angin kencang yang melanda kira-kira setengah jam pada petang Selasa menyebabkan hampir 500 buah kediaman di lima daerah di Terengganu terjejas.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 6 petang itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Marang.

"Berdasarkan maklumat awal, ribut kuat melanda beberapa kawasan menyebabkan 81 buah kediaman di Perumahan Padang Setengge di Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu terjejas membabitkan seramai 268 mangsa.

"Selain itu, terdapat juga kediaman terjejas melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Wakaf Mempelam, Ladang, Bukit Payong, Batu Buruk dan Manir di daerah Kuala Terengganu.

"Terdapat juga kediaman dilanda ribut di daerah Dungun, Kuala Nerus dan Marang. Setakat ini hanya daerah Besut, Kemaman dan Setiu terselamat daripada bencana ribut namun difahamkan terdapat juga beberapa kediaman yang turut terjejas dan kita akan teliti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Hanafiah berkata, setakat ini anggaran keseluruhan kerugian melibatkan kawasan yang dilanda bencana itu masih dalam siasatan dan dijangka diketahui pada Khamis.

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, beliau telah membentangkan perkara itu di dalam Mesyuarat Mingguan Exco pada Rabu.

"Saya telah maklumkan dalam Mesyuarat Mingguan Exco bahawa bantuan segera akan disalurkan sebaik selesai siasatan dan laporan dibuat berhubung angka kerugian dan jumlah mereka yang terkesan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagaimanapun, bantuan awal juga akan disalurkan oleh JKM mengikut keperluan mangsa," katanya.

Hanafiah berkata, beliau telah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras DUN terlibat supaya memulakan dahulu kerja-kerja membaiki kediaman yang terjejas secepat mungkin.

"Saya difahamkan kerja-kerja membaik pulih kediaman yang rosak telah dimulakan sejak pagi tadi dan pihak JKM juga akan menyalurkan bantuan awal mengikut keperluan mangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!