Bekas menteri sekali lagi beri keterangan kepada SPRM
Menurut sumber SPRM, ahli parlimen di utara Semenanjung itu tiba pada kira-kira 9.15 pagi.
Bagaimanapun, pihak media yang menunggu sejak jam 8.30 pagi gagal merakamkan kelibatnya kerana beliau datang menaiki sebuah kenderaan lain yang tidak dijangka pihak media.
Semalam, bekas menteri itu memberi keterangan lebih lapan jam berhubung kes tersebut di ibu pejabat SPRM.
Pada 15 November lepas, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, menerima rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar berkenaan.
Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Rizal pula menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek sama, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!