Tiada sebarang perbualan antara Annuar, Asyraf
SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menafikan perbualan dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengenai masalah rakyat adalah propaganda Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Setiausaha akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, penularan satu poster di media sosial mengenai perkara tersebut adalah palsu.
“Tiada sebarang perbualan antara Annuar dan Asyraf berkaitan perkara berkaitan topik ini mahupun mengenai perkara-perkara lain.
"Grafik yang disiarkan adalah palsu,” katanya Menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu.
Pada Selasa, Asyraf Wajdi melalui Facebooknya melahirkan kekecewaan terhadap pandangan yang dilontarkan oleh seorang pimpinan UMNO yang memiliki jawatan tinggi dalam kerajaan berkenaan kesusahan yang dihadapi rakyat.
Tanpa mendedahkan nama individu tersebut, Asyraf Wajdi mendakwa menteri berkenaan menasihatinya supaya tidak terlalu percaya dengan sentimen di media sosial yang dikuasai oleh DAP dan Pakatan Harapan.
Menurut Asyraf Wajdi, individu terbabit turut menyatakan bahawa kerajaan masih popular dalam kalangan rakyat akar umbi.
Ekoran daripada itu tular satu poster yang mendakwa individu terbabit ialah Annuar Musa yang mengatakan bajwa kesempitan dan kesusahan rakyat adalah agenda PKR dan DAP.
Turut ditulis dalam poster tersebut: "TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) masih popular dalam kalangan rakyat katanya."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!