Toyota Vios lesap ketika nyenyak tidur
ISKANDAR PUTERI – Seorang pesara yang sedang nyenyak tidur tidak menyedari rumahnya dipecah masuk dan kereta anaknya jenis Toyota Vios yang diparkir di hadapan rumah di Taman Mutiara Rini, di sini telah dilarikan pencuri, awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, Sabtu lepas, kira-kira jam 11.30 malam, isteri dan cucu pesara berkenaan telah naik ke tingkat atas untuk tidur, manakala pesara berkenaan yang berusia 65 tahun telah tidur di ruang tamu.
“Esoknya (semalam) kira-kira jam 4.45 pagi, pesara berkenaan baharu menyedari kereta anaknya itu telah tiada sebelum menghubungi Balai Polis Mutiara Rini untuk meminta bantuan.
“Dengan bantuan anggota Balai Polis Mutiara Rini, pesara itu telah membuat pemeriksaan dalam kawasan rumah dan mendapati pagar rumahnya di bahagian belakang telah dipotong, manakala kunci kereta yang diletakkan di tepi pintu turut hilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, hasil pemeriksaan, suspek disyaki mengumpil tingkap rumah pesara itu dan mengait kunci rumah menggunakan batang paip pvc sebelum memasuki ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan melarikan kenderaan tersebut.
“Tiada kerugian lain dalam rumah pesara berkenaan. Dianggarkan kereta tersebut bernilai RM50,000. Tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kereta,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!