Fasa ketiga pemberian vaksin di Perak dijangka minggu depan

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Perak dijangka memasuki fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 (PICK) pada awal minggu hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keyakinan itu disuarakan menerusi bekalan baharu vaksin sebanyak 688,000 dos yang dijadualkan akan diterima bulan ini.

Menurutnya, susulan itu, beberapa strategi akan dilaksanakan melalui Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Perak dalam usaha mencapai sasaran tersebut termasuk membuka beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu.

"Antara strateginya, termasuklah membuka dua PPV baharu iaitu di PPV Proton di Tanjung Malim dan PPV Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar.

"Kerajaan negeri juga mencadangkan pembukaan PPV Mega Pandu Lalu di Lost World of Tambun dengan jangkaan penggunaan maksimum antara 89 hingga 94 peratus iaitu meliputi sasaran kadar suntikan antara 5,000 hingga 7,700 sehari," katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Menurutnya, selain itu kerajaan negeri turut bercadang membuka tiga PPV khas untuk industri iaitu PPV Manjung, PPV Kinta dan PPV Larut Matang dan Selama.

Beliau berkata, dengan pembukaan PPV baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan PPV di Perak sebanyak 101 buah.

Saarani berkata, melalui program jangkauan komuniti atau outreach, pasukan Agen Basmi Covid-19 akan digerakkan ke lokasi yang merekodkan kadar pendaftaran vaksin yang rendah terutamanya di kawasan pedalaman atau lokasi yang tiada kemudahan telefon atau liputan internet.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sehingga 6 Julai, seramai 1.2 juta atau 66.3 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas sudah membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Kita juga akan mewujudkan lebih banyak kolaboratif dengan pihak hospital dan klinik swasta untuk terlibat dalam program vaksinasi.

"Sekiranya bekalan vaksin tiba seperti dijadualkan, Perak mampu merekodkan kadar suntikan sebanyak 24,000 sehari dan jumlah itu boleh mencapai sehingga 30,000 sehari jika menerima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!