Sistem kesihatan akan lumpuh: Dr Noor Hisham
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran sistem kesihatan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan akan lumpuh sekiranya tiada tanda pengurangan kes harian baharu positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes di negeri dan wilayah itu terus meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.
Menurut beliau, empat negeri dan wilayah berkenaan menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital iaitu bawah 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.
"Jika ia berterusan, sistem kesihatan akan lumpuh dan seterusnya situasi sama akan berlaku di seluruh negara.
"KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat Covid-19 di lapangan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes baharu positif Covid-19 melepasi angka 7,000
Dr Noor Hisham berkata, antara langkah berkenaan adalah penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai hospital penuh Covid-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.
"Keupayaan katil di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dipertingkatkan untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori empat dan lima.
"Pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke hospital swasta terutamanya di sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisme penyumberan luar," katanya.
Tambah beliau, KKM juga mempertimbangkan untuk menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes Covid-19 selain bercadang menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai hospital Covid-19.
Dalam pada itu, katanya, negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa 2 Pakej Pemulihan Negara (PPN) dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan yang penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi memastikan situasi terus pulih dan beralih ke fasa seterusnya sekaligus mempercepatkan proses pemulihan sektor ekonomi, kesihatan, ekonomi dan sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!