MEF yakin negara dapat wujudkan 500,000 pekerjaan baharu tahun ini
KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yakin negara mampu mencapai 500,000 pekerjaan baharu tahun ini meskipun negara mencatat kadar pengangguran yang tinggi iaitu melebihi empat peratus.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, di bawah inisiatif Majlis Pekerjaan Negara pada setengah tahun pertama 2021, lebih 240,000 pekerjaan baharu diwujudkan.
“Kadar pengangguran yang tinggi iaitu melebihi empat peratus amat membimbangkan. Pada masa ini, saya merasakan bahawa untuk mencari pekerjaan adalah tidak mudah.
“Alhamdulillah kerana kerajaan telah menyatakan di bawah inisiatif Majlis Pekerjaan Negara pada setengah tahun pertama tahun ini, lebih 240,000 pekerjaan baharu telah diadakan.
"Saya merasakan bahawa memang ada peluang untuk kita mencapai pekerjaan baharu hingga 500,000 pada tahun ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai impak terhadap pengangguran pekerja sekiranya perniagaan terpaksa ditutup atau dikecilkan susulan pandemik Covid-19.
Shamsuddin berkata, perkara yang amat penting adalah pekerja itu sendiri harus memberikan daya usaha lebih tinggi supaya mereka dapat mempelajari kemahiran-kemahiran baharu dan tidak memilih pekerjaan yang ditawarkan majikan.
Mengenai Program Subsidi Upah atau PSU 4.0, beliau berkata, ia diperlukan majikan pada masa kini kerana kebanyakan majikan mengalami kekangan aliran wang tunai.
“Ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh lebih 2.5 juta pekerja dan akhirnya dapat menolong majikan terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini dan juga membantu majikan dalam mengekalkan pekerja-pekerja mereka.
“Ini amat penting kerana kita tahu jika pekerja diberhentikan kerja pada masa ini, agak sukar untuk pekerja mendapatkan pekerjaan baharu kerana kebanyakan majikan masih membekukan sebarang pengambilan pekerja baharu,” katanya.
Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.8 bilion untuk PSU 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan 242,000 majikan di seluruh negara.
Shamsuddin berkata, program Penjana Kerjaya 3.0 juga amat berguna kepada majikan kerana ia memberikan insentif-insentif tertentu kepada majikan untuk mengambil pekerja-pekerja baharu untuk diberikan latihan sewajarnya.
“Di bawah program berkenaan, bukan sahaja latihan diberikan tetapi kita menempatkan pekerja berkenaan ke syarikat-syarikat tertentu dan akan diberikan latihan sewajarnya.
“Pada akhir latihan berkenaan, pekerja adalah merupakan pekerja syarikat bukan macam skim-skim terdahulu yang kebanyakannya hanya memberikan latihan dan selepas habis latihan, tidak tahu sama ada majikan akan menawarkan pekerjaan atau tidak,” katanya.
Selain itu, beliau mengalu-alukan majikan untuk menggunakan pengecualian levi Perbadanan Sumber Manusia Berhad bagi membayar kos program vaksinasi pekerja.
“Perkara ini amat dialukan kerana mereka dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat perlukan bantuan sedemikian untuk bantu mereka memberi imunisasi kepada pekerja dan juga langkah untuk berikan pelepasan cukai, imbuhan cukai adalah penting menggalakkan majikan memberikan vaksinasi kepada pekerja.
“Kerajaan menyatakan bahawa kalau syarikat berjaya memberikan imunisasi kepada 100 peratus pekerja mereka, mereka berkemungkinan diberikan kebenaran untuk beroperasi dan ini saya rasakan menjadi insentif yang sangat baik kepada majikan untuk beri imunisaisi kepada pekerja mereka,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!