Sedia harungi cabaran demi emas pertama Olimpik

Azizulhasni Awang. - Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang. - Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

MEMBAWA harapan lebih 32 juta rakyat Malaysia untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik, sudah pasti memberi cabaran dan tekanan buat pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang.

Namun, sebagai seorang atlet profesional dan demi melaksanakan tanggungjawab buat negara, Mohd Azizulhasni bersedia mengatasi segala cabaran di laluannya dengan sasaran membawa pulang pingat emas yang dinanti-nantikan itu.

Pelumba berusia 33 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu, turut mengakui selepas persaraan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, beliau kini menjadi harapan negara di temasya terbesar dunia itu yang bakal membuka tirai pada 23 Julai ini.

“Kalau tidak diletakkan sebagai prospek emas, beraksi di pentas Olimpik pun sudah menjadi tekanan besar, tetapi sebagai prospek emas, ia adalah peringkat berlainan bagi diri saya. Saya mengambilnya secara positif, tanggungjawab saya kepada negara.

“Daripada bersembunyi di sebalik tirai, sebagai atlet profesional, saya melangkah untuk menggalas tanggungjawab dan sudah pasti berusaha keras di belakang tabir. Setakat ini, persediaan dan latihan kami adalah terbaik dalam sepanjang kerjaya kami.

“Saya gembira dengan segala yang telah kami lakukan dan ingin memastikan semuanya berjalan mengikut perancangan kami di Jepun.

“Apa pun keputusannya, saya tidak akan kecewa atau kesal kerana dari segi persiapaan, kami telah memberikan lebih 100 peratus usaha dalam persediaan,” katanya ketika sidang media secara maya hari ini.

Mohd Azizulhasni, juara dunia acara keirin 2017, berkata setelah mewakili negara lebih 15 tahun, beliau telah menjadi lebih matang untuk mengawal emosi dan mentalnya di temasya berprestij itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai persediaan dari segi fizikal, pelumba dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ menjelaskan bahawa beliau menambah berat badannya sekitar 10 kilogram (kg), terutamanya jisim otot di bahagian bawah selepas Olimpik Rio 2016 untuk meningkatkan kekuatannya.

“Bila dah tambah jisim otot, ia akan membantu meningkatkan kuasa output, sekali gus meningkatkan pecutan. Ia dapat dilihat apabila catatan masa saya bagi pecutan 200 meter (m) meningkat dari semasa ke semasa, kemuncaknya saya memecahkan rekod Asia, kebangsaan dan peribadi dengan catatan 9.548 saat (s) di Kejohanan Dunia Berlin, pada Mac 2020.

“Jadi kami terus bekerja keras dalam tempoh sekatan pergerakan penuh (lockdown) dan terus bekerja keras sampai sekarang sebab bukan misi kecil, misi yang besar untuk negara saya,” katanya pada penampilan Olimpik kali keempat berturut-turut sejak Beijing 2008.

Berbekalkan basikal model WX-R Vorteq, yang dibangunkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta di antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd, beliau yakin untuk menyaingi pelumba-pelumba terbaik dunia selepas terlepas peluang meraih pingat gangsa acara keirin di Rio 2016.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang bakal membuat penampilan pertama di Olimpik, mengakui tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana kurang pengalaman beraksi di temasya besar seperti Olimpik.

“Secara peribadi (saya) tak letak sasaran yang terlalu tinggi, ia agaknya sukar berdasarkan suasana dan pertandingan. Tetapi, yang paling utama, saya pergi sana, buat yang terbaik dan menerima apa sahaja keputusan,” katanya.

Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus akan beraksi dalam acara pecut bermula 4 hingga 7 Ogos dan acara keirin bermula 7 hingga 8 Ogos di Izu Velodrome, Shizuoka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!