UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.
Jelasnya, tujuh kegagalan itu antaranya gagal menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan.
Selain itu, PN juga gagal memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka, menguruskan kestabilan politik dan ekonomi sehingga wujud ketidakyakinan pelabur dan memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
"Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.
"Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan secara maya pada malam Rabu.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Perdana Menteri baharu, Ahmad Zahid berkata, tempoh pemimpin nombor satu yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.
Jelasnya, setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar- benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Tambahnya, mesyuarat MKT juga menegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020.
"Pendirian itu untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!