Baja kebun haram cemar Sungai Bilut
RAUB - Penduduk di Raub melahirkan rasa kesal dan terkilan berhubung aktiviti pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, dekat sini.
Seorang penduduk tempatan, Nor Azizul Nizam Che Mi berkata, dia pernah masuk ke kebun dan melihat sendiri bagaimana HSK Batu Talam diceroboh serta kawasan itu dijarah oleh peneroka haram.
Lelaki berusia 41 tahun itu berkata, pokok-pokok hutan di kawasan tersebut telah ditebang dan ditanam dengan pokok durian musang king.
“Selain pokok-pokok hutan ditebang, baja serta racun yang digunakan bagi menjaga anak musang king sehingga pokok itu membesar dan berbuah juga telah memberi kesan kepada alam sekitar.
“Racun yang digunakan telah turun mengalir ke Sungai Bilut dan menyebabkan pencemaran air,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu menurutnya, penebangan dan penerokaan hutan yang berleluasa menyebabkan ekosistem di kawasan tersebut terganggu.
Jelasnya, air sungai menjadi berkeladak dan menjejaskan kualiti air di daerah ini.
Tambahnya, sistem perparitan juga berhadapan masalah kerana banyak sampah yang turun dari kawasan bukit.
“Air juga selalu tidak ada di Raub kerana loji air Bilut berhadapan masalah selepas hujan lebat. Air menjadi keruh dan tidak boleh dilepaskan kepada orang ramai kerana bermasalah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi anak muda tempatan, Aizad Kamazamri berkata, perbuatan peneroka haram menceroboh HSK Batu Talam adalah bertentangan dengan undang-undang.
Aizad, 40, berkata, dia sangat terkilan apabila kumpulan peneroka haram tersebut dengan mudah menjarah tanah di kawasan larangan.
Jelasnya, sebagai anak tempatan dia juga pernah memohon tanah untuk diusahakan dengan durian, namun sehingga hari ini tidak berjaya.
“Mereka peneroka haram ini senang-senang menceroboh hutan simpan dan membuat keuntungan besar.
“Lebih teruk, semua perbuatan terlarang ini menyebabkan kerosakan ekosistem di daerah ini,” ujarnya penuh kesal.
Katanya, dia sebagai anak muda tempatan Raub menyokong penuh usaha kerajaan negeri memerangi kumpulan peneroka haram tersebut.
Malah katanya, kerajaan negeri Pahang perlu tegas membongkar semua aktiviti haram itu.
ARTIKEL BERKAITAN: 16.4 hektar kebun durian haram dimusnahkan JPNP
Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!