Barangan kemas: Pegawai penyiasat diperintah hadir ke mahkamah
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai penyiasat diperintah hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, esok untuk menjelaskan kedudukan 44 unit barang kemas bernilai USD14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa dirampas oleh pihak polis, tahun lepas.
Peguam N. Rajivan, yang mewakili Rosmah berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin turut mengarahkan Supt Foo Wei Min, yang juga Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, memberi penjelasan mengapa perintah mahkamah arah isteri bekas Perdana Menteri itu memeriksa dan mengesahkan 44 barangan itu, gagal dipatuhi.
Wei Min dalam afidavit sokongan yang diikrarkan sebelum ini menyatakan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa kesemua 44 unit barang kemas berkenaan adalah sebahagian daripada 12,000 barang kemas yang telah dirampas pihak polis.
Rajivan berkata, kes saman yang difailkan terhadap anak guamnya tidak boleh diteruskan sehingga pihak polis dapat memberi penjelasan sama ada barang kemas itu berada dalam jagaan mereka.
"Oleh itu, kami memohon supaya prosiding kes saman ini ditangguhkan sehingga Mei 2019,” kata peguam itu kepada pemberita selepas hadir pada pendengaran permohonan Rosmah untuk menggantung prosiding kes saman itu di dalam kamar pesuruhjaya kehakiman, hari ini.
Peguam, Datuk David Gurupatham yang bertindak bagi pihak syarikat pemborong barangan kemas di Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berkata pihaknya berpendapat bahawa perbicaraan kes saman yang dijadualkan pada 4 dan 5 Mac ini perlu diteruskan.
Pada 14 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah untuk memeriksa dan mengesahkan kewujudan 44 unit barang kemas bernilai USD14.79 juta atau hampir RM60 juta di bawah milikannya yang didakwa dirampas oleh pihak polis, dalam masa tujuh hari.
Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah USD14.79 juta atau hampir RM60 juta.
Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, ia telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara USD124,000 dan USD925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.
Syarikat itu berkata, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas itu.
Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah simpanan pihak berkuasa Malaysia.
Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain memohon perintah supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, USD14.79 juta (RM59.83 juta). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!