Mustahil penerima diberi suntikan tanpa vaksin: JKNS
SHAH ALAM - Agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima seperti yang ditularkan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Menurutnya, pusat pemberian vaksin (PPV) sentiasa memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyelarasan di peringkat hospital secara holistik telah diambil serta pemantauan berterusan dilakukan di peringkat pengurusan tertinggi hospital.
“Pihak hospital ingin menegaskan bahawa program pemberian vaksin sentiasa dijalankan mengikut kaedah terbaik yang ditentukan oleh pihak KKM malah penambahbaikan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahap optimum,” katanya.
Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Rabu malam, beliau berkata, beberapa perkara ditekankan semasa program pemberian vaksin iaitu vaksinator atau pemberi vaksin yang terlibat dipastikan terdiri daripada kakitangan yang bertauliah dan terlatih serta dilantik secara rasmi oleh JKNS.
Dr Sha'ari berkata, sekurang-kurangnya dua kakitangan terlibat dalam tugasan pemberian vaksin di setiap stesen vaksin yang bertindak sebagai vaksinator manakala seorang lagi sebagai penyedia vaksin dan saksi semasa pemberian vaksin dilakukan.
"Penyedia vaksin akan membuat persiapan vaksin dan menyedut vaksin ke dalam picagari khas mengikut sukatan yang ditentukan dan menyerahkannya kepada vaksinator atau meletakkannya di dalam wadah khas yang berdekatan dengan vaksinator,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, penyedia vaksin bertanggungjawab memastikan tiada picagari kosong yang belum berisi vaksin berada di atas troli vaksinator.
"Sebelum vaksin disuntik, vaksinator bertanggungjawab memastikan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penerima berdasarkan tagging yang dibuat semasa proses pendaftaran," katanya.
Beliau berkata prosedur suntikan vaksin perlu dilakukan mengikut kaedah piawaian suntikan intramuscular dan setelah suntikan diberikan, picagari kosong akan dibuang ke dalam sharp bin (bekas alatan tajam) yang terletak berdekatan vaksinator.
"Dengan pematuhan terhadap langkah-langkah di atas, adalah agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima," katanya.
Pada Rabu, tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan suntikan vaksin di sebuah hospital dan perkara itu disahkan polis Kuala Langat yang sedang menyiasat kes itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat laporan terima suntikan vaksin picagari kosong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!