Rebut peluang imarah masjid: Zulkifli
PUTRAJAYA - Umat Islam perlu merebut peluang untuk mengimarahkan masjid susulan pembukaan semula masjid dan surau di Wilayah Persekutuan mulai Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagimanapun mengingatkan semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah keluar kenyataan dan ada 300 orang dibenarkan di masjid utama, ada 100, ada 50 dan 40 orang yang mana ia berdasarkan keluasan masjid," katanya pada Khamis.
JAWI menerusi kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan membuat ketetapan baharu berhubung had solat Jumaat, solat fardu dan solat Aidiladha di surau dan masjid di Wilayah Persekutuan berkuatkuasa mulai Jumaat.
Bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 300 orang bagi solat sunat Aidiladha dan 100 orang bagi solat fardu manakala bagi di lapan buah masjid zon, seramai 100 orang dibenarkan menunaikan solat Aidiladha serta 50 orang untuk solat fardu.
Masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti 50 orang dan 30 bagi solat fardu.
Bilangan jemaah di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi solat sunat Aidiladha dan solat fardu adalah 12 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!