UMNO tarik sokongan: Bersatu Johor sedia sebarang kemungkinan

Md Nasir
Md Nasir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia dengan sebarang kemungkinan susulan pengumuman UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Ir Md Nasir Hashim berkata, pihaknya menjangkakan satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkembangan tersebut dan hala tuju parti.

"Setakat ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Bersatu Johor masih belum cakap apa-apa lagi dengan saya, jadi kita tunggu apa arahan atau perkembangan daripada kepimpinan Bersatu Pusat.

"Saya ada juga bertanyakan perkara ini menerusi aplikasi WhatsApp kepada Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkenaan perkara ini tetapi masih belum menerima sebarang jawapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Pada malam Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti tersebut menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan memohon Muhyiddin berundur daripada jawatan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dikatakan berlangsung dalam keadaan tegang pada malam Rabu selepas membuat penelitian melibatkan tujuh perkara diambil PN selama ini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis ditanya mengenai pendirian dan status parti itu dalam kerajaan PN negeri berkata, pihaknya sedang menunggu arahan Pas Pusat berhubung perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, setakat hari ini hubungan Bersatu, Pas dan UMNO di Johor masih baik dan tidak ada sebarang masalah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap, walaupun keputusan tersebut sudah dibuat MKT UMNO, menteri dan timbalan menteri UMNO dari Johor akan dikekalkan jawatan masing-masing dalam Kabinet PN.

Mengenai keputusan MKT UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN namun ahli Parlimen UMNO pula mahu kekal dalam kerajaan PN, beliau enggan mengulas tetapi menyatakan apa yang dikatakan Ahmad Zahid sebelum ini hanya kenyataan peribadi.



ARTIKEL BERKAITAN UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Amanah yang perlu digalas dengan jujur, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!