PGA rampas kosmetik, ubat seludup
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas barangan kosmetik dan ubat-ubatan bernilai RM28,731 yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram Poksu Roni, di sini, pada Khamis.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rampasan barangan kosmetik dan ubat-ubatan dari negara jiran itu pada jam 12.10 tengah malam selepas ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah barangan seludup itu ketika membuat rondaan kaki di lokasi berkenaan.
"Menyedari kegiatan haram itu berjaya dihidu oleh anggota pasukan keselamatan, kumpulan lelaki berkenaan terus meninggalkan barangan tersebut di lokasi dan terus menyeberang Sungai Golok menghala ke Thailand menggunakan perahu," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Tambah Azhai, hasil pemeriksaan di lokasi pihaknya menjumpai pelbagai jenis barangan kosmetik dan ubat disyaki diseludup dari negara jiran.
"Kesemua barangan rampasan dibawa balik ke balai polis berhampiran untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!