Polis KL edar bakul makanan buat warga kota
KUALA LUMPUR - Polis mengagihkan 120 bakul makanan menerusi Op Bantu dalam usaha membantu meringankan beban warga kota di sini termasuk penduduk Putrajaya bermula Rabu.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Azman Ayob berkata, bantuan tersebut diberikan kepada keluarga susah yang dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, dan persatuan penduduk setempat.
Menurutnya,sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh semua ketua polis daerah Kontinjen Kuala Lumpur dengan bantuan Aman Wanita (Amanita) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Pengagihan bakul makanan ini diberikan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal yang berdaftar dengan JKM, penerima bantuan Baitulmal dan penduduk yang hilang punca pendapatan semasa tempoh pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, 60 buah bakul sudah disampaikan kepada penduduk di Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Sarawak, PPA Sri Johor,F lat Danau Kota, Kampung Chubadak Tambahan, Apartment Putra Ria dan Pangsapuri Putra Harmoni pada Rabu manakala bakinya akan diberikan pada Khamis.
Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya menghargai bantuan agensi korporat atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu meringankan beban orang ramai di waktu pandemik.
"Polis Kuala Lumpur amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak korporat atau NGO yang ingin membantu. Orang ramai boleh terus menghubungi ibu pejabat polis daerah atau balai berhampiran untuk meminta bantuan sekiranya sangat memerlukan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!