Lelaki curi duit tabung masjid RM84 dijel, denda RM1,000
PETALING JAYA - Padah mencuri duit tabung masjid sebanyak RM84 tiga tahun lalu, seorang penganggur dipenjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Mohamed Taaib Mohamad Ariffin, 26, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum pada Khamis dan tertuduh akan dikenakan hukuman tambahan penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Taaib didapati mencuri duit tabung masjid berjumlah RM84 milik Masjid Al Mujahideen di Damansara Utama, di sini pada jam 1.56 pagi, 9 November 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, bilal masjid berkenaan telah ternampak seorang lelaki iaitu tertuduh telah mencuri tabung masjid dan melarikan diri dengan melompat pagar belakang.
Tertuduh kemudian berjaya ditangkap di sebuah stesen minyak berdekatan selepas dikejar imam dan bilal masjid tersebut.
Semasa prosiding, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya sudah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dia bekerja sebagai pembantu menjual ikan di pasar borong.
"Saya mohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan pertuduhan yang dikenakan hanya membabitkan nilai yang rendah," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh.
"Walaupun nilai wang yang dicuri adalah sedikit, tetapi kesalahan mencuri adalah serius," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!