Wanita PN sangkal kerajaan gagal
SHAH ALAM - Wanita Perikatan Nasional (PN) menyangkal dakwaan bahawa kerajaan kini gagal di atas beberapa isu yang dijadikan alasan kepada pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wanita PN dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, tindakan tersebut jelas bermotivasikan kepentingan sempit kelompok tertentu dan membelakangkan kepentingan rakyat serta negara yang ketika ini sedang menumpukan usaha memerangi pandemik Covid-19.
"Wanita PN kesal dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, selepas mesyuarat MKT UMNO malam Rabu.
"Setakat ini, kerajaan telah melaksanakan pengurusan Covid-19 yang seimbang antara mengekang penularannya dan memelihara penghidupan rakyat.
"Harus diingat, negara telah berjaya mengelakkan pandemik berskala bencana seperti di beberapa negara lain manakala ekonomi dan punca pendapatan rakyat dapat dipertahankan daripada kelumpuhan," katanya.
Menurut kenyataan itu, Wanita PN yakin rakyat yang terhimpit kehidupan mereka akan kecewa dengan keputusan MKT UMNO itu.
Jelasnya, rakyat mahukan semua kelompok terutamanya kelompok politik untuk mengetepikan kepentingan politik partisan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga dan sumber untuk membantu mereka dalam keadaan yang getir ini.
"Wanita Perikatan Nasional dengan ini menyatakan sokongan yang penuh dan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri untuk terus meneraju kerajaan PN.
"Sebaik menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin utama negara, beliau telah memimpin dengan sehabis baik serta menyediakan jalan keluar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang jelas.
"Wanita PN berikrar akan tetap bersama dengan Perdana Menteri sehingga ke hujung jalan dalam usaha genting untuk menewaskan pandemik Covid-19 dan membawa rakyat untuk menikmati kehidupan seperti sediakala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!