Sukan SEA Vietnam sah ditunda
TEMASYA Sukan SEA Vietnam yang dijadualkan bermula pada 21 November hingga 2 Disember ini akan ditunda pada tahun hadapan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penundaan tersebut mendapat sokongan 10 negara yang terlibat dalam persidangan Persekutuan Sukan SEA yang berlangsung pada Khamis.
"Apa yang kita 'anticipate' pada mulanya dalam persidangan tersebut adalah untuk mendengar daripada Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) terhadap keputusan kerajaan mereka tentang penganjuran Sukan SEA. Namun, pihak mereka memaklumkan buat masa ini belum mendapat keputusan daripada pihak kerajaan.
"Jadi, saya mencadangkan kepada persidangan tadi kerana melihat kepada lenggok Vietnam bahawa mereka nampkanya tidak mahu mengadakan Sukan SEA pada tahun ini selain kes Covid-19 di Asia Tenggara masih lagi belum menunjukkan penurunan.
"Saya mencadangkan buat undian bahawa Sukan SEA tidak akan diadakan pada tahun ini. Ia telah mendapat undian 10 daripada 10 negara, jadi Sukan SEA secara rasminya ditunda," katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.
Sebelum ini, Vietnam sudah beberapa kali meminta untuk menangguhakn Sukan SEA ekoran pandemik Covid-19 yang kembali meningkat di Asia Tenggara.
Ini merupakan kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas kali pertama pada edisi 2003, dan telah menyenaraikan 520 acara dari 40 sukan untuk tahun ini.
Pertama kali temasya sukan dwitahunan itu dibatalkan adalah pada 1963, apabila Kemboja tidak dapat menjadi tuan rumah berikutan ketidakstabilan politik.
Mengulas lanjut, Mohamad Norza turut memberikan cadangan dalam persidangan tersebut agar tarikh Sukan SEA pada tahun hadapan ditetapkan pada akhir April sehingga awal Mei.
"Hanya tempoh tersebut yang membolehkan kita bersedia untuk Sukan SEA. Tetapi, selepas itu banyak sukan lain seperti Sukan Komanwel di Birmingham, Sukan Asia dan Islamic Game di Turki.
"Pendapat itu juga mewakili pendapat negara seperi Brunei dan Singapura yang turut akan menghadapi Sukan Komanwel.
"Jadi, Vietnam mempunyai ruang dalam 10 hingga 14 hari untuk menyatakan keputusan mereka tempoh masa untuk menganjurkan Sukan SEA tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!