Tiga tokan dadah ditahan ketika tunggu pelanggan

Ketiga-tiga suspek ditahan bersama sebahagian dadah yang dirampas. -Foto: ihsan IPD Kemaman
Ketiga-tiga suspek ditahan bersama sebahagian dadah yang dirampas. -Foto: ihsan IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan tiga lelaki disyaki pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di belakang sebuah bangsal di tepi jalan Kemasik di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semua suspek berusia antara 31 dan 36 tahun itu ditahan pasukan sekatan jalan raya (SJR) Bergerak, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Menurut beliau, dalam serbuan kira-kira jam 5 petang, tiga lelaki tempatan itu ditahan ketika dipercayai menunggu pelanggan di atas sebuah bangsal.

"Pemeriksaan menjumpai satu tiub straw berangkai 10 di mana setiap satu berisi satu biji pil berwarna merah disyaki dadah dan satu tiub straw berangkai lapan dan setiap satunya berisi satu biji pil berwarna merah disyaki dadah.

"Turut ditemui dua tiub straw berlainan saiz berwarna ungu cerah di dalamnya mengandungi serbuk atau ketulan kristal disyaki dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Hanyan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan awal juga mendapati kesemua mereka memiliki rekod lampau di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!