'Suhaimi anak ketiga saya maut kemalangan'

Fatimah
Fatimah
A
A
A

PUCHONG - "Sudah tiga anak lelaki saya meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya," luah Fatimah Gaumar, 64, ibu kepada pemandu lori, Mohamad Suhaimi Khamis, 38 yang maut terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Slim River, Sabtu lalu.

Tidak mampu menahan sebak, Fatimah berkata, luka dihatinya kembali berdarah sewaktu menerima perkhabaran menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu.

Menurutnya, walaupun reda dengan kejadian tersebut namun rasa sedih itu tidak dapat disembunyikan selepas anak-anak pergi lebih dulu darinya.

"Sebelum Suhaimi, dua anak lelaki saya meninggal dunia pada 1995 dan 2000 disebabkan kemalangan motosikal ketika mahu ke tempat kerja. Kedua-duanya masih bujang.

"Kini Suhaimi pula pergi dalam keadaan mengejut tanpa meninggalkan sebarang pesanan, itu buat saya sedih," katanya ketika ditemui di rumah saudaranya di Kampung Kenangan sewaktu menerima kunjungan Exco Kerajaan Negeri, Dr Mariah Mahmud.

Fatimah berkongsi cerita sewaktu menerima kunjungan Dr Mariah.
Fatimah berkongsi cerita sewaktu menerima kunjungan Dr Mariah.

Tambahnya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu kira-kira empat hari sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya dia akan singgah rumah saya setiap kali pergi atau pulang kerja tapi tak berbuat demikian sebab sibuk dengan kerja tapi ada berhubung melalui panggilan telefon.

"Kali terakhir jumpa mukanya nampak pucat, bila ditanya katanya letih sebab terlalu banyak kerja, dia tak banyak cakap sebab memang dia seorang yang pendiam" katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, arwah dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan minyak dari Sungai Buloh, Selangor ke Lumut.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Khatijah Abdul Karim, 36, yang sedang hamil tujuh bulan dan tiga anaknya termasuk pasangan kembar, Mohamad Amar, Mohamad Amir, 9, dan Nor Afiqah, 8.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu rentung babitkan nahas tiga lori

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!