PGA rampas dadah dan air ketum
RANTAU PANJANG - Penangkapan seorang lelaki berusia 45 tahun oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk air ketum dianggarkan berjumlah RM9,488 pada Khamis.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, lelaki tersebut ditahan pada jam 3.30 pagi menerusi satu serbuan yang dilakukan oleh pasukannya di sebuah rumah di Kampung Dangar, Pasir Mas.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah dikerah ke lokasi untuk melakukan serbuan. Sejurus tiba kami melihat seorang lelaki berada di hadapan rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menjumpai barangan yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara.
Beliau berkata, suspek kemudian telah membawa anggota PGA ke bilik tidur untuk membuat pemeriksaan lebih lanjut.
Azhari berkata, anggota PGA telah menjumpai satu kotak berwarna hitam di atas rak pakaian dan di dalamnya mengandungi lima bungkusan plastik berwarna biru.
"Pemeriksaan ke atas semua bungkusan plastik biru itu, PGA telah menemui 907 biji pil yang disyaki dadah. Selepas itu, kita telah menjumpai satu beg kecil berwarna hitam di atas meja dekat bahagian dapur mengandungi dua paket plastik lutsinar yang berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah.
"Turut dijumpai di atas lantai bahagian dapur bersebelahan meja makan satu periuk besar yang mengandungi 28 paket plastik lutsinar yang berisi cecair kehijauan yang disyaki air ketum," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan diteruskan lagi ke atas kereta Mercedes Benz yang berada di luar rumah dan telah menemui dua paket lutsinar yang berisi 10 biji pil disyaki dadah.
Katanya, dadah itu ditemukan di bahagian laci tengah antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dan suspek secara lisan mengaku kesemua barang kes yang dijumpai adalah miliknya.
Dalam serbuan berasingan Azhari berkata, pihaknya berjaya merampas 196 biji pil yaba dan syabu seberat 0.46 gram selepas menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kampung Bakong, di sini pada Rabu.
Katanya, serbuan jam 11.30 malam itu membabitkan rampasan berjumlah RM2,006.
"Saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!