Perkasakan Parlimen bulatkan dasar
TIDAK cukup Parlimen dibuka semula untuk kembali kepada prestasinya sebelum pandemik Covid-19. Ia seharusnya menjadi lebih kuat daripada dahulu kerana wabak itu telah mendedahkan kelemahan urus tadbir kita.
Mengapa banyak yang diharamkan semalam dibenarkan esok? Mengapa banyaknya ‘titik buta’ atau perkara terlepas pandang dalam dasar dan prosedur operasi standard (SOP) pandemik sehingga mengundang kemarahan orang ramai sampai kerajaan terpaksa membatalkan dasar asal untuk memadam api kemarahan rakyat? Mengapa berlaku gejala dua darjat?
Jawapan paling popular adalah kebodohan menteri atau kerajaan yang diwakili ungkapan popular #KerajaanGagal.Jawapan itu jahil kepada suatu fakta – kebanyakan dasar dan undang-undang tidak ditetapkan oleh menteri, sudah tentu tidak Parlimen tetapi oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan. Dasar-dasar �baharu’ selalunya dihasilkan oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan yang sama tetapi cuma dengan penekanan atau pencirian yang berlainan mengikut citarasa atau slogan menteri baharu.
Pada pandangan saya, krisis urus tadbir kita dalam wabak ini terdapat dua sebab lebih mendalam. Pertama, kerumitan akibat wabak yang mewujudkan percanggahan pelbagai kepentingan dan pertimbangan. Sebagai contoh, kes baharu Covid-19 melambung tinggi jika tidak tutup kilang tetapi penganggur mungkin melambung tinggi jika penutupan kilang memufliskan syarikatnya.
Dasar penyelesaian yang berkesan memerlukan penghitungan sangat jitu dan tuah. Ia menyebabkan kerajaan akan sentiasa terperangkap dalam keputusan yang salah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kedua, kalau model urus tadbir pasca-1969 pernah membawa kestabilan dan pembangunan untuk tanah air, ia tidak dapat lagi menjaga masyarakat yang semakin kompleks.
Dalam model lama itu, cuma golongan menteri dan pegawai kanan kerajaan dipercayai sebagai elit yang akan memelihara kepentingan nasional, manakala aktivis sosial, pembangkang, malah ahli Parlimen muda dalam parti pemerintah disyaki sebagai golongan pendesak dan pengacau yang harus disekat. Maka, undang-undang dan dasar yang disediakan menteri dan pegawai tinggi akan diluluskan tanpa pindaan di Parlimen yang berfungsi sebagai pak turut kepada Eksekutif. Sebelum darurat pun, Parlimen bersidang cuma sekitar 51 hingga 70 hari setahun dalam 2013-2019. Sebelum perubahan kerajaan 2018, hampir 70 peratus ahli Parlimen tidak berpeluang mencorak dasar apabila Parlimen bersurai. Sekalipun 9-10 jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang menyemak kementerian telah ditubuhkan sejak tahun 2019, hampir 40 peratus ahli Parlimen tetap dikecualikan.
Kelemahan model lama itu semakin terdedah apabila masyarakat menjadi maju dan kompleks. Apabila golongan hartawan senang mendampingi menteri tetapi rintihan rakyat marhaen tidak kedengaran, maka ketidakpuasan rakyat akhirnya akan berkumpul seperti air bah yang naik meruntuhkan tambak sungai.
Kelemahan model lama itu diperbesarkan dengan darurat apabila kuasa membuat keputusan penting dipindah daripada Jemaah Menteri kepada tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang terdiri daripada perdana menteri, empat menteri, dua pegawai kanan kerajaan, ketua tentera dan ketua polis.
Titik buta muncul apabila ramai pemegang taruh dikecualikan dalam proses pembuatan keputusan. Itu sebabnya semangat musyawarah ditekankan oleh orang dahulu kala untuk bulatkan keputusan. Dengan terbukanya Parlimen, semangat musyawarah harus didalami dengan menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas Parlimen supaya keputusan setiap kementerian akan disemak dan diimbangi oleh wakil rakyat. Jangan biar 40 peratus ahli Parlimen kita dinafikan sebarang tanggungjawab jawatankuasa.
Panjat pokok dapat pulasan,
Makan bersama anak muda,
Jangan kecuali siapa dalam keputusan,
Baru dasar dapat diterima semua.
*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!