Befrienders terima 6,202 panggilan sepanjang 2020

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kumpulan sokongan emosi, Befrienders Pulau Pinang menerima 6,202 jumlah panggilan telefon daripada individu yang menghadapi kemurungan dan masalah kesihatan mental sepanjang tahun lalu.

Pengerusinya, Damain Lee berkata, peningkatan jumlah panggilan yang diterima paling ketara bermula Mac tahun lalu disebabkan ramai yang mula terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, antara tekanan yang dihadapi berpunca disebabkan hilang pekerjaan, berdepan masalah keluarga dan beban hutang ditanggung.

Selain itu, keretakan rumah tangga, masalah di tempat kerja, tekanan perasaan dan trauma menjadi punca juga antara punca yang dikaitkan dengan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

"Perkara ini seharusnya diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat kerana disebabkan masalah kesihatan mental menyebabkan penghidapnya boleh melakukan sesuatu di luar batasan akal sehingga mengancam nyawa mereka.

"Menjadi peranan anggota masyarakat terutamanya ahli keluarga atau rakan-rakan yang terdekat untuk mengesan perubahan atau simptom kemurungan yang dihadapi oleh individu tertentu.

"Cuba menjadi pendengar yang baik, tidak cepat menghukum dan mencari solusi terbaik dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan sekiranya ketara dan tidak boleh ditangani kami sarankan supaya merujuk individu terbabit dengan doktor bagi mendapatkan nasihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Damain berkata, individu yang berdepan dengan kemurungan dan masalah kesihatan mental juga boleh menghubungi talian psikososial yang disediakan Befrienders Pulau Pinang bagi berkongsi apa juga cerita dan masalah dihadapi mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka tidak perlu takut atau malu untuk berhubung dengan Befrienders kerana semua perkongsian akan dirahsiakan malah berpeluang menjalani sesi luahan dari hati ke hati dengan sukarelawan kami yang sedia berkhidmat dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

"Daripada 6,202 panggilan yang kita terima 22 peratus daripada mereka seperti tidak bersedia apabila hanya diam ketika panggilan dibuat dan tidak dapat meluahkan masalah yang mereka hadapi.

"Selain itu, sebanyak 42 peratus panggilan yang diterima meluahkan rasa hampir putus asa mereka dengan kehidupan dan pernah merancang mencari jalan mudah namun selepas sesi kaunseling dilakukan mereka berubah fikiran serta sanggup berdepan dengan masalah,"katanya.

Beliau berkata, selain melalui panggilan telefon mereka juga boleh berkomunikasi dengan sukarelawan Befrienders melalui aplikasi WhatsApp atau email bagi meluahkan masalah mereka.

Mereka yang ingin berkomunikasi dengan Befrienders boleh menghubungi talian +60 11-5670 6261 atau menghantar pesanan melalui WhatsApp di talian yang sama atau email di pat@befpen.org.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!