Kadar kematian penyu membimbangkan

Kadar kematian penyu di Terengganu berada pada tahap membimbangkan dengan 55 kes direkodkan Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas. - Gambar hiasan.
Kadar kematian penyu di Terengganu berada pada tahap membimbangkan dengan 55 kes direkodkan Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kadar kematian penyu di Terengganu berada pada tahap membimbangkan dengan 55 kes direkodkan Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya Ruzaidi Mamat berkata, walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 78 kes kematian sepanjang 2019, pihaknya percaya masih banyak kes kematian reptilia itu tidak dilaporkan kepada jabatan.

"Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, hanya 20 kes kematian telah dilaporkan kepada jabatan dan kita berharap jumlah ini terus berkurangan seiring kurangnya 'gangguan' di perairan Terengganu ketika ini.

"Kebiasaannya, kematian penyu yang dilaporkan adalah kerana tersangkut pada pukat nelayan dan kemalangan akibat terkena kipas bot pelancong. Cuma ada satu kes baru-baru ini berlaku perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mencuri telurnya berlaku di Pulau Kapas, Marang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sekatan dalam industri pelancongan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas turut menyumbang kepada penurunan kes kematian penyu di Terengganu.

Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 8,195 penemuan sarang telur penyu telah direkodkan sepanjang tahun lepas membabitkan 1,024 ibu penyu.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 7,913 sarang telur penyu yang dikesan melibatkan 990 ibu penyu pada tahun 2019.

"Sepanjang tahun lepas juga, sebanyak 662,097 telur penyu telah dieram di 48 pantai pendaratan dan 443,721 anak penyu telah dilepaskan ke laut. Secara purata, hanya seekor dari setiap 1,000 anak penyu akan berjaya membesar manakala baki mati dimakan haiwan pemangsa di laut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod jabatan, pendaratan penyu agar di Terengganu juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding di awal program konservasi dijalankan.

"Pada 1990-an, pendaratan penyu agar kurang dari 5,000 sarang setahun namun selepas 20 tahun, ia meningkat dua kali ganda dengan rekod tertinggi pada 2016 iaitu 10,040 pendaratan. Diharap usaha konservasi ini terus mendapat kerjasama masyarakat agar haiwan yang diancam kepupusan ini dapat ditatap generasi akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!