Feri bawa penumpang di Langkawi tiba-tiba terbakar
ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seramai 52 penumpang dan tujuh kru berdepan detik mencemaskan apabila feri dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum terbakar. Komander Operasi Zon 4, Timbalan Penguasa Bomba Johari Mohd Lazim mengesahkan pihak bomba menerima laporan kira-kira jam 2.48 petang berhubung kebakaran feri itu.
Beliau berkata, feri berkenaan terbakar kira-kira tiga kilometer (km) dari pantai berdekatan hotel The Westin Langkawi Resort & Spa,Jalan Beringin.
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan BBP Langkawi telah digerakkan bersama dua bot penyelamat dan satu bot kevlar selain aset Maritim Malaysia (Maritim) dan bot nelayan berhampiran," katanya.
"Kesemua penumpang tidak mengalami kecederaan dan bantuan dari bot dan feri di kawasan perairan Langkawi digerakkan bagi membantu penumpang feri itu.
"Berdasarkan maklumat awal, ada mangsa bertindak terjun ke laut selepas feri Dragon Star 1 dinaiki mereka terbakar demi menyelamatkan diri masing-masing," katanya.
Katanya, anggota diarahkan masuk ke dalam feri tersebut bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap dan membuat pemadaman kebakaran dengan tiga aliran pancutan menggunakan bantuan Pam Godiva.
Manakala, Timbalan Pengarah Operasi Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, Pusat Operasi Maritim Langkawi telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang.
Katanya, pihaknya menerima maklumat bahawa feri membawa penumpang dan kru itu terbakar berhampiran Selat Kuah, Langkawi.
Beliau berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi selaku koordinator cari amat telah mengkoordinasikan pergerakan tiga bot dan dua jetski milik Maritim Malaysia serta tiga bot dari TLDM, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, kesemua mangsa tersebut diselamatkan oleh bot penumpang Pulau Tuba dan Bagan Selat yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum dihantar ke Jeti Kuah Langkawi dan dalam keadaan selamat.
Menurut beliau, kebakaran telah dipadamkan dan punca kejadian masih belum dapat diketahui dan siasatan akan diteruskan sehingga selesai.
Sementara itu, Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya menafikan feri terbakar adalah dibawah konsortium Ferry Line Venture.
Katanya, sebaliknya, kebakaran berkenaan melibatkan feri dari Dragon Star Shipping Sdn Bhd, yang pernah terkandas selama tujuh jam di laut sebelum ini.
Bagaimanapun, kata beliau, pihak mereka turut tampil membantu memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa feri terbakar terbabit.
Katanya, My Master dari konsortium Fery Line Venture memberi khidmat dan membantu sedaya mungkin bagi memudahkan semua penumpang dihantar ke Kuala Perlis secara percuma.
KRONOLOGI:
2.30 petang - Feri Dragon Star 1 membawa penumpang dan kru berlepas dari Jeti Kuah.
2.45 petang - Feri yang baru memulakan perjalanan selama 10 minit terbakar tiba-tiba.
2.48 petang - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah menerima panggilan kecemasan.
2.56 petang - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah tiba di lokasi kejadian.
3.00 petang - Pusat Operasi Maritim Langkawi telah menerima panggilan kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!