SKM terima 493 permohonan kebenaran beroperasi
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerima 493 permohonan daripada sektor koperasi dan bukan koperasi yang tergolong dalam kluster koperasi untuk meneruskan aktiviti ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara.
Tiga kluster koperasi yang boleh membuat permohonan beroperasi daripada SKM adalah Sektor Perkhidmatan Kewangan termasuk Co-opbank, koperasi kredit dan Ar- Rahnu.
Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus SKM, Ibrahim Kasah berkata, daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 301 permohonan diluluskan iaitu dua permohonan daripada Co-opbank termasuk Co-opbank Pertama dan Bank Rakyat, 211 koperasi kredit dan 88 Ar-Rahnu untuk beroperasi.
Katanya, permohonan aktiviti ekonomi itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum mendapat kelulusan SKM.
“Bagaimanapun, bagi sistem ini kami menolak sejumlah 192 permohonan yang tidak layak kerana bukan kluster, koperasi tidak berdaftar, koperasi memberi maklumat salah dan syarikat.
“Permohonan bukan kluster koperasi itu bermaksud koperasi yang tidak menjalankan aktiviti Co-opbank, kredit atau Ar-Rahnu.
“Sehingga kini, permohonan yang paling tinggi diluluskan adalah koperasi di sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah 117 permohonan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata Ibrahim, SKM melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan koperasi bersesuaian menjalankan aktiviti ekonomi semasa PKP.
Katanya, SKM turut mempunyai senarai nama koperasi yang mempunyai aktiviti yang dibenarkan dan prosedur operasi standard (SOP) dipersetujui oleh MEDAC untuk koperasi beroperasi sepanjang PKP 3.0.
“Bagi Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Perladangan dan Asas Tani serta Sektor Pembinaan, perlu memohon dengan kementerian yang berkenaan untuk membolehkan koperasi meneruskan aktiviti dan beroperasi.
“Sebagai contoh, koperasi yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncian perlu memohon ke Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) manakala aktiviti perladangan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia dan sebagainya,” katanya.
Pada masa yang sama Ibrahim berkata, terdapat beberapa perbezaan bagi kaedah pengoperasian koperasi sepanjang PKP 1.0 dan PKP 3.0.
Katanya, SKM turut menubuhkan jawatan kuasa khusus menerusi SKM Negeri dan Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus untuk memantau koperasi yang beroperasi semasa PKP 3.0 bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.
“Perbezaan adalah dari segi tempoh masa operasi di mana pada PKP 1.0, tempoh masa adalah dari jam 9 pagi hingga 4 petang manakala pada PKP 3.0 waktu dipendekkan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.
“Di samping itu, terdapat juga perbezaan peratusan kakitangan koperasi yang bertugas semasa PKP.
“Pihak MITI turut memberikan kebenaran kepada SKM dengan kerjasama MEDAC untuk meneliti dan meluluskan permohonan setiap koperasi kredit, coopbank dan Ar-rahnu melalui sistem CIMS 3.0 bagi PKP ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!