1,000 keluarga terjejas pendapatan, hilang kerja dibantu
MUAR - Program ‘bakul makanan’ yang digerakkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pagoh berjaya membantu lebih 1,000 keluarga yang terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan terbabit.
Ketuanya, C. Subramani berkata, usaha itu dibuat setelah melihat ramai rakyat yang terjejas teruk dan bergelut dengan masalah ekonomi.
“Kita sedar dalam keadaan sekarang, terlalu ramai rakyat yang terkesan sehingga sukar untuk mereka bertahan. Disebabkan itu, kita menggerakkan program ‘bakul makanan’ ini dengan menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas untuk meringankan beban mereka.
“Buat masa ini, kebanyakannya penerima bantuan adalah pekerja kilang dan warung selain pekerja ladang yang tidak dapat bekerja seperti biasa susulan PKP.
“Setakat ini, kita telah mengagihkan 1,000 ‘bakul makanan’ kepada penduduk di Pagoh sejak PKP bermula tahun lalu manakala sepanjang PKP 3.0, sudah 200 ‘bakul makanan’ kita serahkan kepada keluarga yang layak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau sebelum itu menyerahkan bantuan bakul makanan kepada 100 keluarga di kawasan Bukit Pasir, Temiang, Pagoh, Panchor, Pagoh Jaya dan Lenga.
Jelas C. Subramani, bantuan itu diberikan kepada mereka yang terjejas tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita bersedia membantu tanpa mengira itu semua kerana sedar ramai yang terjejas pada waktu yang sukar ini.
“Ia sekurang-kurangnya meringankan beban mereka dan kita mahu mereka sedar, walaupun dalam keadaan ekonomi yang teruk, masih ada yang cakna terhadap mereka dan sanggup membantu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!