348 calon SMA di Selangor peroleh Mumtaz

Seramai 348 atau 11.9 peratus calon Sijil Menengah Agama (SMA) 2020 di Selangor memperoleh pangkat Mumtaz. (Gambar hiasan)
Gambar kecil: Mohd Shahzihan
Seramai 348 atau 11.9 peratus calon Sijil Menengah Agama (SMA) 2020 di Selangor memperoleh pangkat Mumtaz. (Gambar hiasan) Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 348 atau 11.9 peratus calon Sijil Menengah Agama (SMA) 2020 di Selangor memperoleh pangkat Mumtaz.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad bagaimanapun berkata, pencapaian itu menurun apabila seramai 888 atau 27.7 peratus calon memperoleh Mumtaz pada tahuh 2019.

"Peratus calon memperoleh Mumtaz pada tahun ini berkurangan sebanyak 15.8 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada Majlis Pengisytiharan Keputusan SMA, Sijil Menengah Agama Tahfiz Al Quran (SMATQ) dan Sijil Menegah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) di Bilik Mesyuarat Haji Sianid Tingkat 2, Menara Utara Bangunan Sultan Idris Shah di sini pada Jumaat.

Mohd Shahzihan berkata, seramai 860 atau 29.4 peratus calon memperoleh pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) manakala 832 calon mendapat keputusan Jayyid (baik).

"Calon yang mendapat keputusan Jayyid meningkat sebanyak 9.7 peratus berbanding hanya 599 atau 18.7 peratus calon pada tahun sebelumnya," ujarnya.

Jelas beliau, bagi calon SMA yang mendapat pangkat Maqbul (lulus) pula seramai 754 atau 25.8 peratus calon dan terdapat 4.5 peratus atau 134 calon yang belum mencapai tahap minima kelulusan (Musaadah) dan memerlukan bimbingan berterusan.

Katanya, walaupun pencapaian prestasi SMA pada tahun 2020 menurun berbanding pada tahun lalu, namun usaha yang telah dilakukan oleh pihak sekolah, guru-guru dan juga ibu bapa amat dihargai.

"Kita telah berjaya mencapai kejayaan ditahap ini walaupun dalam susana pembelajaran yang tidak menentu ekoran pendamik covid19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 2,925 calon menduduki SMA pada tahun lalu berbanding 3,202 calon pada tahun 2019.

Daripada jumlah itu, seramai 2,522 calon terdiri daripada 23 Sekolah Agama Menengah (SABK) dan empat Maahad Integrasi Tahfiz (MITS) Negeri Selangor dengan 403 calon dari sekolah swasta dan persendirian dari 13 Sekolah Menengah Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!