Bangunan kerajaan masih tiada sijil FC bomba
MELAKA TENGAH - Kira-kira 140 buah bangunan kerajaan berstatus kekal masih belum memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) setakat ini di seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan, berkata, jumlah itu perlu diberikan perhatian oleh kementerian yang terlibat memandangkan daripada jumlah keseluruhan 649 bangunan yang sedia ada, hanya 226 premis mempunyai sijil FC, manakala 283 masih dalam proses permohonan.
Menurutnya, usaha komited yang berterusan pihaknya bukanlah untuk menyukarkan mana-mana pihak termasuk kementerian, kerana sedar ia turut memerlukan kos namun yang paling penting nyawa mereka yang berada di dalam bangunan kerajaan juga bernilai sama seperti mereka yang berada di bangunan swasta.
Katanya, bagi memastikan berlaku peningkatan bilangan FC, jabatan bomba turut menyasarkan tiga premis yang akan diberikan keutamaan untuk mempunyai sijil tersebut iaitu hospital, 'dormitory' dan juga lokasi perhimpunan secara berperingkat bermula Februari ini hingga Ogos depan agar keseluruhan jumlah itu memiliki sijil selewat-lewatnya hujung tahun ini.
"Kita bukan mahu menyusahkan kementerian lain, tapi melihat perkara ini seperti kebakaran yang pernah berlaku di Hospital Sultan Aminah, Johor walaupun kebakaran berlaku di sebuah bilik kecil tapi melibatkan ramai orang seperti pesakit yang menjalani pembedahan, pesakit berkerusi roda dan ada yang tidak mampu bergerak sendiri.
"Kerana itu kita akan lakukan gerakan yang begitu agresif dengan memberikan fokus kepada tiga premis bangunan kekal kerajaan yang tiada ada sijil itu termasuk hospital," katanya.
Muhammad Hamdan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kebesaran Jabatan dan Perkhidmatan Cemerlang 2018 negeri di Hotel Muzaffar, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Jelasnya, menerusi mesyuarat yang melibatkan semua kementerian di Putrajaya, baru-baru ini, turut akan memberi perhatian kepada perpustakaan dan stor am bangunan kerajaan selepas selesai status perakuan sijil di hospital, 'dormitory' dan juga lokasi perhimpunan.
"Kita tidak tahu kemalangan (kebakaran) bila akan berlaku dan ada bangunan yang berisiko berlaku kebakaran kerana itu pentingnya sijil FC untuk bersama mengurangkan dan mengatasi kebakaran yang melibatkan bangunan kerajaan di negara ini," katanya.
Pada majlis itu, seramai 48 menerima anugerah termasuk 12 pegawai yang menerima Pingat Kebesaran Jabatan manakala selebihnya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!