Dua beranak maut kereta bertembung
RAUB - Dua beranak maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang dipercayai dipandu laju di Kilometer (KM) 32 Jalan Raub-Mempaga, hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Siti Farhana Othman,25 dan ibunya, Ramlah Saad, 60, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kejadian 11 pagi itu.
Menurutnya, pemandu Isuzu Dmax, Lai Wan Man, 35, pula hanya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang Perodua Myvi itu, Wan Mohamed Salleh Bin Wan Chik @ Wan Su, 73, cedera parah.
“Difahamkan kejadian berlaku ketika pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Sungai Ruan ke Mempaga di Bentong manakala mangsa dari Bentong ke Felda Lembah Klau di sini.
“Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai dipandu dengan laju dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.
“Nahas itu menyebabkan pemandu dan penumpang belakang Perodua Myvi itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikuti Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!