BNM dijangka kekal OPR pada 1.75 peratus
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sehingga akhir tahun selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan pada Khamis mengambil keputusan untuk meneruskan dengan kadar semasa berkenaan, kata para penganalisis.
CGS-CIMB Securities berkata, bank pusat telah mengekalkan kadar semasa itu pada pertemuan keenam berturut-turut, sejajar dengan jangkaannya serta 19 daripada 21 ahli ekonomi lain yang ditinjau oleh Bloomberg.
"Kami mempertahankan unjuran OPR kami untuk akhir tahun 2021 pada 1.75 peratus dengan jangkaan BNM mengekalkan kadar dasar itu untuk baki dua lagi mesyuarat MPC yang bakal diadakan pada September dan November 2021," kata firma broker saham itu dalam satu nota penyelidikan pada Jumaat.
Menurut CGS-CIMB, keputusan untuk mengekalkan OPR walaupun terdapat ketidakpastian yang lebih besar mengenai prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan bahawa setiap dorongan untuk menurunkan kadar perlu disertai dengan kemerosotan asas ekonomi yang lebih ketara dan berlarutan.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd pula menyatakan BNM dijangka mengekalkan kadar dasar yang stabil pada tahun 2021 tetapi kebarangkalian untuk mengurangkannya akan meningkat sekiranya langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat berpanjangan.
"Mod dasar monetari BNM masih cuba menyesuaikan dengan peralihan ke arah pendirian neutral daripada menjadi 'dovish' kerana ia melihat peningkatan dalam pemulihan pertumbuhan global bersama dengan kenaikan harga komoditi dan inflasi utama.
"Secara keseluruhan, nada pernyataan dasar tidak banyak berubah daripada pertemuan MPC sebelumnya," kata bank itu dalam catatan penyelidikannya.
Kenanga berkata, BNM mungkin mempertimbangkan untuk mengambil jalan menurunkan kadar faedah kerana ruang fiskal semakin terbatas dan ruang hutang untuk mengumpulkan dana bagi membiayai defisit menyusut selain daripada langkah-langkah untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana mungkin terhad dan tidak berkesan.
"Namun begitu, kebarangkalian untuk perkara itu berlaku amat rendah pada masa ini. Kami berpendapat BNM akan terus membiarkan dasar fiskal menentukannya, melainkan terdapat risiko utama di pasaran dan ekonomi berikutan limpahan negatif daripada pandemik,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!