Tunjukkan jenama parti yang baik, utamakan kepentingan rakyat
SHAH ALAM - Pemimpin UMNO perlu menunjukkan jenama parti mereka yang baik dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya untuk peribadi.
Penganalisis politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh berkata, amat tidak rasional sekiranya pemimpin mahu membahaskan hal-hal berkaitan politik ketika ini memandangkan rakyat sedang berada dalam kesusahan.
“Tanggungjawab dan amanah pemimpin sangat besar.
Jangan main-main dengan nyawa manusia, jangan main-main dengan kesusahan rakyat.
“Kalau kita tengok berita-berita yang dipaparkan di media sosial hari ini, ramai antara mereka yang menderita disebabkan hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
“Ini adalah satu naratif kesusahan rakyat. Jika nak dibandingkan dengan percaturan politik, ia tidak rasional untuk dibincangkan sebenarnya, malah tidak sepatutnya berlaku pada ketika ini,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-272 bertajuk ‘Tarik Sokongan Kepada PM, Apa Kesan Kepada Kerajaan’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Wacana itu turut menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.
Sharifah Syahirah berkata, sebagai penganalisis politik, beliau faham sekiranya seseorang pemimpin itu mahu mengekalkan kuasa sebagai kelangsungan hidup ahli-ahli politik.
Bagaimanapun, katanya, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan pada ketika ini.
“Kalau boleh 90 peratus cakaplah mengenai kelangsungan hidup rakyat. Terlalu banyak desas-desus yang mengatakan pemimpin politik cuba mengaut keuntungan pada waktu ini.
“Justeru, saya amat berharap semua pihak selesaikan masalah yang ada. Jadilah jenama politik yang baik,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!