Kedudukan PN kekal, berjalan seperti biasa
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memberi kesan kepada fungsi dan struktur kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana ia tetap berjalan seperti biasa.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan tersebut seharusnya tidak berlaku ketika ini kerana masing-masing perlu bekerjasama melawan musuh iaitu Covid-19.
“Ditambah dengan masalah ekonomi yang melanda, masing-masing patut bersatu dan sokong kerajaan. Kenapa nak diruntuhkan.
“Kita jangan assabiyah kepada kepartian sangat. Betul, saya pun sayang parti saya. Sama dengan yang lain. Kita parti Bersatu dah macam adik-beradik dengan UMNO. Apa salahnya berunding.
“Berunding tak salah. Ia disebabkan masa sahaja. Perkongsian kuasa ini lama-lama kita kena terima. Yang penting kita usaha, kita bantu orang tidak kira parti mana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-272 bertajuk ‘Tarik Sokongan Kepada PM, Apa Kesan Kepada Kerajaan’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Wacana itu turut menampilkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Penganalisis Politik, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, Muhammad Faiz turut mempersoalkan tujuh sebab mengapa UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan PN.
“Bagaimana tujuh sebab ini boleh menjadi kayu ukuran secara tiba-tiba sedangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sebelum ini katanya keputusan nak keluar daripada kerajaan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tidak sebut pula kalau ada pelanggaran sebagaimana yang tertakluk dalam tujuh perkara ini. Pada saya, kalau nak kata kerajaan kita ini gagal, kita kena ada parameter. Gagal dari segi apa.
“Jadi, di sini kita mula persoalkan apa sebenarnya niat peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita tidak mahu bermusuh dengan warga UMNO. Warga UMNO rapat dengan kami,” ujar Muhammad Faiz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!