Penduduk Meru bimbang warga asing berkeliaran
MERU - Penduduk di sekitar Meru di sini melahirkan kebimbangan berikutan beberapa kilang di kawasan tersebut masih beroperasi meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim terbabit sejak 3 Julai lalu.
Lebih membimbangkan pendudukan apabila kehadiran pekerja warga asing di kilang terbabit sering dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk, Amidin Mohd Yusoff, 74 berkata, kelibat pekerja warga asing dari kilang itu sering dilihat berjalan secara berkumpulan di sekitar kawasan rumahnya selepas waktu bekerja pada jam 5 petang.
Dia mendakwa hasil pemerhatian yang dilakukan mendapati pihak kilang terbabit meletakkan bas pekerja di premis lain untuk mengaburi pandangan orang ramai.
"Kami hairan mengapa kilang terbabit dibenarkan beroperasi meskipun sebelum ini pihak kilang itu telah memaklumkan menghentikan sementara operasi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Klang," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Amidin berkata, rata-rata penduduk yang menyahut seruan kerajaan dengan duduk di rumah kecewa apabila kumpulan pekerja warga asing itu terus bermaharajalela.
"Pada saya, kilang-kilang tersebut tidak wajar dibenarkan beroperasi pada waktu ini kerana kebanyakan kes Covid-19 di Selangor berpunca daripada sektor perkilangan.
"Masyarakat umum menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan baik tetapi bagaimana dengan mereka (pengusaha kilang dan warga asing)? Sampai bila nak terus begini," katanya.
Dalam pada itu, Muhd Zulhelmi Mohd Arif Ali, 19 berkata, dia sering melihat warga asing berkeliaran di sini pada waktu petang.
Dia yang menuntut di sebuah kolej kemahiran di Pelabuhan Klang meluahkan rasa tidak puas hati berikutan kilang itu di dakwa menjadi menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.
"Kalau ikutkan, saya dah kembali ke kolej pada Julai tahun lalu.
Tapi sehingga kini saya masih belajar secara dalam talian dan ia mengganggu pembelajaran saya.
"Saya harap bila Parlimen mula bersidang, ada pihak yang boleh menyuarakan berkenaan operasi kilang ini," katanya.
Sementara itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Meru, Azman Mohamed Tawil berkata, hanya sekitar lapan daripada 20 kilang syarikat sama diarahkan tutup, manakala selebihnya masih beroperasi.
Menurutnya, rata-rata penduduk merungut berikutan lambakan pekerja warga asing yang masih bekerja di kilang tersebut sedangkan rakyat diarahkan duduk di rumah.
"Penduduk tidak berpuas hati kerana mereka diarahkan untuk duduk di rumah tetapi warga asing pula berkeliaran di luar dan bekerja.
"Kami tidak boleh berbuat apa-apa selain menasihati premis tersebut untuk menutup operasi kerana tidak mahu mencetuskan perbalahan," katanya.
Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat di sekitar kilang tersebut mendapati terdapat puluhan kenderaan disyaki milik pekerja kilang berada di hadapan premis berkenaan.
Baru-baru ini tular sebuah gambar dan video di laman Facebook berkenaan kilang tersebut yang masih beroperasi dan didakwa punca peningkatan kes Covid-19 di Selangor.
Menerusi gambar pula mendapati kawasan itu boleh diibaratkan sebagai 'kampung kecil' bagi warga asing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!