Tokan dadah ditangkap ketika tunggu pelanggan
KEPALA BATAS - Seorang lelaki dipercayai tokan dadah ditahan di tepi jalan Permatang Bendahari, Penaga di sini bersama sejumlah dadah, pada Khamis.
Lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas dipercayai terlibat kegiatan mengedar dadah.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggannya untuk menyerahkan bekalan dadah.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap suspek menemui dadah jenis heroin seberat 430 gram dan beberapa peket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 52 gram.
Selain itu, polis menemui dadah jenis ganja seberat 23 gram, sebutir pil eramin 5 serta peralatan menghisap dadah dalam beg yang dibawa lelaki berkenaan.
"Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan RM10,108 dan boleh digunakan oleh 400 hingga 500 orang penyalahgunaan dadah.
"Suspek ditahan dan motosikal jenis Yamaha 125zr ditunggang suspek dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam pada Jumaat.
Noorzainy berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah.
Katanya, lelaki yang mempunyai beberapa rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!