'Ini lampin pakai buang terakhir saya ada'
SUNGAI BULOH - “Terima kasih banyak-banyak, dari tadi dia (anak) minta saya tukar lampin sebab dah basah.
Itu lampin pakai buang terakhir yang saya ada."
Demikian kata seorang wanita di Kampung Paya Jaras di sini setelah dilawati oleh pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Khamis setelah menerima aduan daripada penolong amil di sini berkenaan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
LZS menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Pengarah LZS, Saipolyazan M Yusof bersama pasukan LZS Daerah Petaling yang datang ke rumah keluarga ibu terbabit untuk menyampaikan bantuan menahan sebak setibanya mereka di pekarangan rumah tersebut.
Menurut hantaran tersebut, wanita berkenaan menyara hidup dengan bekerja di salah sebuah pusat penjagaan anak yatim berhampiran sini, namun pendapatan mula berkurangan kepada separuh ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sebak hati menahan air mata bila kami masuk ke pekarangan salah sebuah keluarga ibu tinggal ini. Anak istimewanya mengejar kami kegembiraan.
"Rupanya, lampin pakai buang yang dipakainya adalah lampin terakhir yang ada dalam simpanan.
Allahu akbar, mengalir air mata si ibu ketika kami hulurkan diapers untuk anaknya.
"Kami kira had kifayah, dia layak untuk didaftarkan sebagai asnaf.
Kami akan mula salurkan bantuan kewangan bulanan dan bantuan sewa rumah kepada beliau mulai bulan ini," kata hantaran tersebut pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!