Olimpik Tokyo sepi tanpa penonton

Olimpik Tokyo sepi tanpa penonton. - Foto Reuters
Olimpik Tokyo sepi tanpa penonton. - Foto Reuters
A
A
A

PENGANJUR Sukan Olimpik Tokyo dan pihak berkaitan pada Khamis bersetuju acara di Tokyo dan tiga wilayah berdekatan iaitu Kanagawa, Chiba dan Saitama akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton, menurut Jiji Press.

Ini bermakna upacara pembukaan dan penutup di Stadium Nasional Jepun di Tokyo akan berlangsung tanpa penonton. Temasya sukan itu dijadual bermula 23 Julai.

Persetujuan itu dicapai selepas kerajaan Jepun pada awal Khamis memutuskan darurat akan di kuat kuasa di Tokyo bermula Isnin hingga 22 Ogos, iaitu merangkumi keseluruhan tempoh penganjuran Olimpik.

"Kami memutuskan tidak ada penonton pada acara tersebut. Kami memohon maaf kepada mereka yang selama ini ternanti-nanti untuk menyaksikan acara di lokasi penganjuran," kata Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo Seiko Hashimoto, pada sidang media.

Sebelum ini, semua gelanggang boleh dihadiri sehingga 50 peratus penonton, maksimum 10,000 untuk setiap acara.

Sementara itu, tempat acara di wilayah Miyagi, Fukushima dan Shizuoka akan membenarkan kehadiran penonton sehingga 50 peratus dan maksimum 10,000 penonton.

Di wilayah Ibaraki, hanya penonton di bawah program untuk murid sekolah rendah dan pelajar menengah sahaja dibenarkan. Sementara penonton di Hokkaido belum diputuskan.

Untuk Paralimpik yang akan bermula 24 Ogos, status penonton akan dibincangkan selepas penutup Olimpik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!