Empat krisis besar negara: Membangun keupayaan dan daya tahan masyarakat

Ramai rakyat yang mula pulih kehidupannya tahun lalu terjerumus semula dalam kancah pengangguran, hilang pekerjaan, dan punca pendapatan. (Gambar hiasan)
Ramai rakyat yang mula pulih kehidupannya tahun lalu terjerumus semula dalam kancah pengangguran, hilang pekerjaan, dan punca pendapatan. (Gambar hiasan)
A
A
A

BERDEPAN dengan kemelut wabak Covid-19 yang belum nampak penghujungnya sejak lebih setahun ini, Akademi Profesor Malaysia (APM) sebagai sebuah wadah pemikir telah menganjurkan satu Sidang Meja Bulat yang penting pada 3 Julai 2021.

Sidang ini bertujuan mendapat buah fikiran para profesor yang terkenal dalam bidang masing-masing mengenai jalan keluar daripada mala petaka ini.

Secara khusus mereka diminta untuk memberi pendapat tentang Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 15 Jun yang lalu, disusuli Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun.

Sidang yang membariskan lima orang profesor kanan sebagai panel undangan, dengan 20 orang lagi profesor pelbagai bidang sebagai peserta telah berlangsung selama tiga jam setengah.

Sidang ini telah mendengar banyak idea yang bernas yang akan diolah menjadi sebuah Memorandum Akademi Profesor Malaysia untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara.

Saya bertuah diberi penghormatan sebagai salah seorang ahli panel berbicara mengenai tema 'Politik dan Masyarakat'.

Fokus saya ialah kepada persoalan governans dan kepimpinan yang saya anggap sebagai kunci untuk menangani krisis ini dan membawa peralihan keluar bagi negara dan masyarakat kita.

Governans dan kepimpinan ini perlu diletak dalam kerangka agenda reform yang tergendala tetapi perlu diteruskan demi kemajuan negara kita yang sudah lebih 60 tahun merdeka.

Artikel Berkaitan:

Empat krisis besar

Pada hemat saya, negara kita sebenarnya menghadapi empat krisis, bukan dua atau tiga seperti lazim disebut.

Pertama, krisis kesihatan iaitu penularan pandemik Covid-19 sejak Januari tahun lalu, tetapi sekarang sudah berubah menjadi endemik. Maksudnya, wabak ini akan berada di tengah-tengah masyarakat kita dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Kedua, krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia. Krisis ini diburukkan lagi oleh langkah-langkah mengawal pandemik iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac 2020, dan kini kita berdepan dengan PKP 2.0 dan 3.0.

Walaupun ada tanda pemulihan pada akhir tahun lalu sehingga Bank Dunia meramalkan pertumbuhan untuk 2021 berada pada kadar 6 – 6.7 peratus, namun gelombang baharu pandemik merubah ramalan pertumbuhan kepada 4.5 peratus untuk tahun ini.

Ketiga, krisis politik yang tercetus dengan Langkah Sheraton pada Mac 2020. Kewujudan pemerintahan PN yang tidak stabil dan kukuh serta bergantung kepada perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen dan DUN sehingga menjejaskan amalan demokrasi serta semak-dan-imbang terjejas.

Krisis ini yang hampir-hampir membawa kepada krisis Perlembagaan kini sudah kendur kerana Perdana Menteri sudah akur dengan titah SPB Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos 2021.

Keempat, krisis masyarakat atau masyarakat dalam krisis rentetan tiga krisis di atas. Setakat ini persoalan ini tidak dibicarakan sebagai krisis nasional sedangkan pada hakikatnya masyarakat kita berada dalam krisis kehidupan yang amat parah.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Masyarakat dalam krisis dan gerakan solidariti rakyat

Terdapat dua trend dalam masyarakat kita sekarang yang perlu diambil perhatian. Terdapat krisis kehidupan dan pergolakan masyarakat yang sedang bergolak, namun ia masih terpendam sebagai arus bawah kerana tertekan oleh Covid-19 dan pelbagai perintah larangan.

Pada mula pandemik meletus tahun lalu, masyarakat tidak panik dan terjerumus dalam keadaan krisis. Mereka boleh menghadapi impak pandemik dan PKP 1.0 yang dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Mereka rela berkorban dan patuh menghadapi 'lockdown' yang sangat ketat.

Walaupun kehidupan sangat tertekan dan kehilangan kerja, fasa pemulihan dilaksanakan segera setelah 10 Jun, dan rakyat boleh bernafas semula, tetapi itu hanya sementara.

Meletusnya gelombang kedua Covid-19 setelah Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September 2020 dan pengabaian pematuhan pada SOP oleh sesetengah pihak hingga muncul istilah SOP untuk golongan kayangan, dan SOP untuk golongan marhaen merubah segala-galanya.

Hal ini berterusan sehingga gelombang ketiga pada awal tahun ini tanpa tanda-tanda kemelut ini akan berakhir.

Akibatnya, rakyat sudah sangat resah gelisah, letih dan kecewa. Lebih-lebih lagi apabila PKP 2.0 dan perisytiharan darurat dilaksanakan sejak 12 Januari sehingga sekarang, dan PKP 3.0 yang dilaksanakan mulai 1 Jun 2021.

Ramai rakyat yang mula pulih kehidupannya tahun lalu terjerumus semula dalam kancah pengangguran, hilang pekerjaan, dan punca pendapatan.

Golongan kelas menengah juga sebahagiannya turut terjerumus ke dalam kemelut kehidupan kerana hilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

Bantuan yang diberi kerajaan kepada golongan terjejas telah lama habis, dan sekarang bantuan baharu pun begitu sedikit.

Rakyat terpaksa bergelut mengurus kehidupan dan menanggung anak pinak, serta membantu orang tua. Sebahagiannya harus membayar sewa rumah dan pelbagai ansuran, manakala wang simpanan termasuk KWSP sudah semakin terhakis ataupun sudah kehabisan langsung. Sebahagian rakyat sudah sangat teruk dan dihantui kelaparan.

Tekanan hidup tidak dapat tidak menimbulkan kesan psikologi dan mental yang serius, menyebabkan kebuntuan fikiran, kemurungan, krisis rumahtangga dan keganasan semakin meningkat dan yang lebih seriusnya, sebahagian individu sudah hilangan pegangan sehingga sanggup mengambil langkah terakhir dengan membunuh diri.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan secara purata empat orang bunuh diri setiap hari, satu peningkatan yang luar biasa berbanding tahun lalu.

Di samping kemelut di atas, pergolakan sosial dan ekonomi yang luar biasa ini turut membesarkan satu golongan sosial yang baharu yang dinamakan golongan precariat – suatu golongan yang sering dirujuk sebagai 'the angry class'.

Mereka terdiri daripada golongan penganggur, mereka yang dibuang kerja, mereka yang bekerja setengah masa, pekerja sambilan, pekerja gig tanpa sebarang perlindungan, juga siswazah menganggur yang ramai bilangannya.

Sebagai satu kelas, mereka menghadapi 'existential precarity' – yakni, ancaman terhadap kehidupan kerana pendapatan yang kecil, atau tanpa pendapatan, tanpa identiti pekerjaan, dan hidup tidak menentu tanpa masa depan.

Perlu diingatkan bahawa anak muda golongan precariat inilah yang menjadi pencetus gerakan Arab Spring satu dekad yang lalu, pada tahun 2010-2011 di beberapa buah negara Timur Tengah khususnya Tunisia dan Mesir.

Krisis dan implikasi daripada perkembangan ini harus diteliti dan diambil berat oleh semua pihak khususnya pihak pemerintah demi memelihara kesepaduan sosial dan perpaduan nasional.

Dalam krisis ini tahun lalu dan kini, pemerintah telah mewujudkan program bantuan kewangan dan juga bakul makanan yang disalurkan kepada masyarakat. Langkah ini dialu-alukan.

Akan tetapi selama mana program semacam ini boleh bertahan menjadi suatu tanda tanya jika program ini tidak dikaitkan dengan perancangan pembangunan yang lebih lestari dan berjangka panjang.

Apa yang penting ialah inisiatif yang boleh membangunkan masyarakat dan mendayaupayakan mereka. Satu inisiatif yang baik dan boleh dicontohi oleh PBT lain telah diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Untuk menyelamatkan golongan gelandangan di Ibu Kota, DBKL telah menggunakan bidang-bidang tanah yang boleh digunakan untuk mewujudkan program pertanian bandar (urban farming).

Program yang sudah mula menampakkan hasil ini memberi peluang kehidupan baharu kepada bekas gelandangan itu.

Sementara itu, dalam kalangan masyarakat pula, syukurlah, terdapat cahaya di hujung terowongan untuk menghadapi kemelut krisis ini secara bersama.

Terdapat gerakan arus bawah dalam kalangan masyarakat yang sedang berkembang pesat – anggota-anggota masyarakat yang cakna bertindak membantu sesama sendiri, melahirkan satu gerakan organik bersifat solidariti rentas daerah, gender, kaum dan agama untuk membantu semasa sendiri di bawah slogan “Kita Jaga Kita”, “Rakyat Bantu Rakyat” dan sebagainya.

Sebahagian gerakan ini sudah muncul tahun lalu tetapi menjadi lebih ketara tahun ini. Antaranya, inisiatif Bendera Putih, Bank Makanan Komuniti, Soup Kitchen, dan lain-lain lagi.

Ada NGO yang bukan sahaja menyediakan bank makanan tetapi turut menyediakan khidmat kaunseling kepada yang memerlukan.

Selain itu ada pihak swasta yang prihatin bersama-sama turun padang mengambil bahagian dalam gerakan ini. Misalnya, Petronas mewujudkan bank makanan untuk komuniti yang ditempatkan di ratusan setesen minyak mereka di seluruh negara. Kata-kata bimbingan “Ambil ikut keperluan, Derma ikut kemampuan” memang kena pada tempatnya.

Solidariti dan kecaknaan masyarakat sivil serta pemain sektor swasta dan PBT terhadap mereka yang susah dan menderita ini amat mengharukan. Langkah ini memberi harapan dan menandakan inilah hari depan bagi Malaysia.

Membangun keupayaan dan daya tahan masyarakat untuk menangani krisis

Jelas sekali keadaan masyarakat Malaysia yang dirondong krisis khususnya kemudahancaman yang amat serius sehingga terjejasnya kelangsungan hidup memerlukan gerak kerja secara terkoordinasi pelbagai pihak – pemerintah, swasta, pemimpin ilmu dan cendekiawan awam, masyarakat sivil, para dermawan dan anggota masyarakat itu sendiri.

Dalam kalangan anggota masyarakat, apa yang diperlukan sekurang-kurangnya dua perkara, iaitu keupayaan (capability) dan daya tahan (resilience).

Membina keupayaan bermaksud meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk melakukan inovasi dan perubahahan, manakala resilience atau daya tahan bermaksud kecekalan dan kebolehan untuk mengadaptasikan diri dengan masalah ataupun ancaman dari luar, membina ruang dan peluang, serta bersedia melantun kembali apabila jatuh atau terpukul oleh krisis.

Hal ini menunjukkan sifat manusia sebagai individu pelaku yang sedar dan aktif, cekal, dan berupaya mencapai transformasi diri melalui tindakan kendiri dan secara kolektif.

Di sinilah pentinganya kita mengobarkan pembinaan keupayaan dan daya tahan masyarakat, perlunya membugarkan dan menjajarkan semula hubungan masyarakat sesame mereka (re-energise & reinvent society), melakukan mobilisasi masyarakat, menyuntik semangat bahawa akan ada hari depan bersama selagi rakyat berdiri teguh, gigih dan tabah berusaha.

Mobilisasi ini harus secara vertikal dari bawah ke atas, dan dari atas ke bawah serta secara horizontal melebar dalam kalangan anggota masyarakat sendiri selaras dengan pendekatan “whole-of-society” atau penglibatan seluruh masyarakat.

Negara kita memerlukan penglibatan aktif secara terus-menerus sektor ketiga – golongan NGO, organisasi akabr umbi dalam komunity atau CBO (community-based organisations) serta para dermawan untuk membantu masyarakat yg memerlukan.

Negara harus mengiktiraf peranan dan sumbangan penting mereka khususnya NGO sebagai satu kategori barisan hadapan, misalnya, dengan mengutamakan mereka dalam program vaksinasi.

Negara dan pihak pemegang taruh yang lain khususnya NGO perlu mewujudkan mekanisme nasional untuk menyelaraskan peranan NGO. Satu platform nasional untuk pelbagai NGO bertemu serta mengeluarkan pendapat dan berkongsi pengalaman perlu diwujudkan untuk akhirnya memberi khidmat kepada masyarakat dan negara.

Di peringkat akar umbi, terdapat ramai pimpinan kecil akar umbi yang sangat dedikasi dan erat hubungannya dengan anggota komuniti masing-masing.

Mereka perlu terus-menerus mendampingi setiap unit isirumah atau keluarga serta ambil tahu khasnya jika anggota komuniti itu menghadapi masalah tekanan hidup dan memerlukan bantuan.

Namun untuk bergerak ke depan, pemimpin akar umbi ini perlu terjaring dalam suatu rangkaian pemimpin komuniti yang luas dengan pihak berkuasa tempatan dan juga nasional agar kekuatan bersama itu memberi impak yang lebih berkesan.

Selain itu, dalam kalangan masyarakat terdapat golongan dermawan atau penggiat filantrofi yang bersedia menyumbangkan harta dan kekayaan mereka untuk kemajuan masyarakat khasnya mereka yang dipukul krisis. Peranan mereka perlu diangkat, diiktiraf serta digemblengkan.

Namun perlu ambil kira bahawa ada di antara mereka yang ingin bergerak secara senyap di mana tangan kanan memberi tapi tangan kiri tidak tahu.

Sebuah tabung khas sumbangan mereka untuk bantu masyarakat boleh difikirkan tetapi tabung khas itu harus diurus secara telus, beramanah serta terpisah daripada tabung pemerintah.

* Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong ialah Ketua Kluster Kesepaduan Sosial & Perpaduan Nasional & Felo Akademi Profesor Malaysia dan Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!