Hospital sesak, KKM pastikan kemudahan mencukupi

Noor Azmi (kanan) ketika meninjau proses suntikan vaksinasi di PPV Dewan Millenium, pada Jumaat.
Noor Azmi (kanan) ketika meninjau proses suntikan vaksinasi di PPV Dewan Millenium, pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkasakan perkhidmatan di setiap hospital di negara ini termasuk memastikan semua kemudahan mencukupi untuk merawat pesakit pesakit kes jangkitan Covid-19 dan pesakit biasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, walaupun berlaku kesesakan di beberapa hospital terutamanya di kawasan Lembah Klang berikutan peningkatan kes Covid-19 namun semua pesakit akan dipastikan mendapat rawatan yang terbaik.

Menurutnya, kerajaan memahami keadaan semasa dihadapi rakyat dan juga petugas kesihatan yang semakin letih ketika ini tambahan kes jangkitan Covid-19 tidak menunjukkan penurunan.

“Pada masa ini, kerajaan sedang tindakan pantas dengan memperkasakan Hospital Covid, Hospital Hibrid, Hospital Universiti dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dengan menambah bilangan katil, Unit Rawatan Rapi (ICU),meningkatkan peralatan perubatan dan menggerakkan kakitangan berpengalaman bagi merawat pesakit.

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mewujudkan Hospital Medan di lokasi yang berlaku peningkatan kes mendadak,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Millenium di sini, pada Jumaat.

Dr Noor Azmi berkata, bagi mengurangkan tekanan petugas kesihatan, pihaknya akan menambah bilangan sukarelawan termasuk menyambung kontrak petugas kesihatan bagi membantu mana-mana hospital seluruh negara yang berdepan dengan peningkatan kes.

Mengulas mengenai pemberian vaksin, Noor Azmi berkata, jumlah pemberian dos suntikan vaksin di negara ini terus meningkat melebihi 300,000 dos sehari.

Peningkatan pemberian vaksin sekali gus dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok seperti yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini sasaran pemberian vaksin disasarkan 300,000 dos sehari dan semalam dalam sejarah apabila suntikan vaksin di seluruh PPV mencapai 370,000 dos.

“Ini satu perkembangan positif dan kita kini boleh cecah 400,000 dos sehari tambahan pula beberapa negeri sudah berada di akhir fasa kedua (membabitkan warga emas) yang dalam beberapa masa lagi dijangka masuk ke fasa ketiga melibatkan semua individu berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!