Atlet pelayaran mampu raih pencapaian luar biasa di Tokyo

Foto AFP
Foto AFP
A
A
A

EMPAT atlet pelayaran negara yang berlepas ke Jepun pada Khamis diyakini mampu meraih pencapaian luar biasa pada Sukan Olimpik Tokyo,yang dijadual membuka tirainya pada 23 Julai ini.

Pengurus pasukan negara, Megat Fairuz Khairuddin berkata, kombinasi pengalaman dan kemahiran baharu atlet berkenaan, menerusi beberapa kejohanan serta latihan berintensiti tinggi dalam tempoh setahun lepas, dilihat mampu meningkatkan prestasi mereka untuk memperbaiki pencapaian pada temasya sukan itu.

Empat atlet berkenaan adalah Khairulnizam Mohd Afendy yang akan bersaing dalam acara Laser Standard, Nur Shazrin Mohd Latif (Laser Radial) serta gandingan Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali bagi acara International 470 Wanita.

Megat Fairuz berkata, Khairulnizam yang berpengalaman menyertai acara sama pada edisi London 2012 dan Rio 2016, juga mampu memperbaiki pencapaian dalam saingan kali ini, selepas latihan berintensiti tinggi di Eropah dengan keadaan laut berombak besar dan angin kuat.

“Berbekalkan hasil latihan Khairulnizam di Tenerife, Sepanyol yang juga melibatkan atlet beberapa negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo seperti Belgium, Trinidad dan Tobago dan El Salvador, kita yakin beliau mampu memperbaiki kedudukan pada temasya sukan itu.

.

“Beliau juga atlet berpengalaman bertanding di Sukan Olimpik, dan merupakan harapan kita untuk melihatnya mempertingkatkan pencapaian dalam acara sama di Tokyo, kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat

Sementara itu Megat Fairuz berkata, prestasi Nur Shazrin juga menunjukkan peningkatan termasuk dalam menguasai kemahiran mengharungi keadaan berombak besar, dan kekal kompetetif dalam keadaan ombak kecil dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga prestasi gandingan atlet Nuraisyah dan Juni Karimah, juga yang berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pasukan pelayaran lebih awal di Tokyo, akan membantu atlet dan jurulatih untuk menyesuaikan diri, bagi membolehkan mereka berada dalam ‘competitive mode’.

Pada masa sama, beliau menjelaskan telah turut memberikan laluan kuota akreditasi kepada jurulatih-jurulatih, untuk menyertai pasukan pelayaran negara, dalam setiap acara pada temasya sukan berkenaan.

Pada Khamis, skuad pelayaran negara terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih, menjadi kumpulan pertama kontinjen negara berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jepun, untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo. Acara pelayaran bakal berlangsung di Enoshima Yacht Harbour di Bandar Fujisawa, Wilayah Kanagawa.

Untuk rekod, pasukan pelayaran negara secara konsisten menyertai Sukan Olimpik mulai edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat; Sydney 2000; Athens 2004; Beijing 2008; London 2012; Rio de Janeiro 2016; dan Tokyo 2020. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!