Pemuda PN gesa ahli politik berhenti politiking, fokus Covid-19
SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) menggesa agar ahli politik segera menghentikan politiking yang menyusahkan rakyat dan fokus menangani pandemik Covid-19.
Pemuda PN dalam satu kenyataan berkata, keputusan UMNO yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur adalah satu bentuk pelanggaran kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sebelum ini menitahkan supaya semua bentuk 'politiking' dihentikan bagi memastikan urusan negara difokuskan kepada memulihkan keadaan negara.
Justeru, Pemuda Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Berdasarkan kenyataan pihak Peguam Negara pada 8 Julai dan inisiatif yang telah serta sedang diambil oleh kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19 ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri.
"Ini termasuklah menyokong barisan anggota kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan menteri penuh dan lapan timbalan menteri dari UMNO terhadap Pelan Pemulihan Negara.
"Kita wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai imuniti kelompok bagi membolehkan kita kembali meneruskan kehidupan seharian seperti biasa," katanya pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, pihaknya akan terus menjadi entiti semak-imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!