Polis bantuan TM maut motosikal bertembung pacuan empat roda
HULU TERENGGANU - Anggota polis bantuan Telekom Malaysia (TM) maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer (KM) 53 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi dekat Kampung Landas di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda dari Ajil menghala ke Bukit Besi dipercayai telah membelok ke laluan kanan seterusnya memasuki laluan mangsa.
Katanya, keadaan itu menyebabkan motosikal dipandu mangsa, Mohd Riduan Mohd Teh, 40, yang ketika itu berada pada jarak dekat tidak dapat mengelak seterusnya bertembung dengan kenderaan terbabit.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat menghentikan motosikal lalu merempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 62 tahun itu.
"Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
"Pihak perubatan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan mangsa mengalami cedera parah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohd Adli, kes berkenaan akan disiasat mengikut Sekayen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!