Khutbah JAIS tegah fitnah WhatsApp

A
A
A

PADA Jumaat yang lepas, seperti biasa, saya menunaikan fardu Jumaat di masjid berdekatan rumah saya di Kajang. Tajuk khutbah pada hari itu amat istimewa bagi saya sebab saya adalah pengkritik khutbah yang tegar. Saya selalu mengatakan bahawa kebanyakan isi kandung khutbah tidak mengikuti peredaran zaman dan terkeluar konteks kesejagatan manusia secara keseluruhannya.

Khutbah pada hari itu amat bermakna sekali kerana ia memberi suatu ‘upgrade’ atau naik taraf kepada bab bencana lisan daripada buku Imam Ghazali (r.a.) Ihya Ulumuddin. Yang saya khatam adalah buku Bimbingan Mukminin iaitu ringkasan kitab besar tersebut kepada dua jilid.

Dalam konteks pembinaan negara-bangsa di negara ini, khutbah itu amat mendalam ertinya kerana umat Islam Melayu amat tidak kenal tentang fitnah atau berita palsu daripada sebaran WhatsApp. Khutbah tersebut mengingatkan umat Islam betapa dosa fitnah adalah amat besar sekali di sisi ALLAH SWT dan juga dosa melaga-lagakan antara umat dengan berita palsu atau tulisan menghasut dan berniat jahat.

Saya dapati, dalam kalangan orang-orang Melayu di Semenanjung Malaysia, mereka ini amat suka menyampaikan berita-berita yang tiada verifikasinya terutama terhadap sesuatu yang buruk tentang orang Cina, parti DAP, orang Kristian atau seseorang menteri India-Hindu. Bagi tanggapan mereka apa-apa berita tentang kumpulan sasaran ini kesemuanya sahih belaka tanpa dirujuk kebenarannya daripada mana-mana sumber lain.

Jika perbuatan menyebarkan berita palsu dan fitnah melalui WhatsApp menjadi suatu budaya kekal, maka bukan sahaja ia menjadi dosa besar kepada umat Melayu tetapi ia juga bakal merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat dalam negara ini.

Jika berlaku rusuhan seperti 13 Mei, maka kesemua rakyat Malaysia akan rugi dari aspek ekonomi, hubungan kemasyarakatan dan periuk nasi anak-anak kita yang kebanyakannya kini bergantung hidup dengan firma-firma, kilang-kilang dan kedai-kedai orang-orang bukan Islam. Pada ketika itu nasi telah jadi bubur.

Adapun menyebarkan fitnah dan berita palsu sebegini adalah kesalahan daripada segi undang-undang dan boleh dihukum penjara. Saya amat khuatir dan kasihan kepada umat-umat Melayu yang terpaksa tunggu di luar syurga di akhirat kelak kerana fitnah-fitnah dan berita palsu yang telah disebarkan dan kini mereka menunggu untuk meminta maaf kepada mangsa-mangsa Islam dan bukan Islam dalam bahan cerita yang dikongsikan.

Usaha pihak JAIS ini harus dipuji kerana ia memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama. JAIS telah mengingatkan umat Islam supaya berwaspada terhadap cerita, berita dan maklumat yang mereka tidak kenal sumber asalnya, yang mereka tidak tahu cerita keseluruhannya dan tidak juga mempunyai informasi terhadap kesahihan berita-berita tersebut.

Artikel Berkaitan:

Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada ahli-ahli hadis yang bersikap amat kritis dan kritikal terhadap sumber-sumber ilmu hadis serta rangkaian ketepatan bunyi ayat-ayatnya.

Saya ingin mencadangkan JAIS juga menulis khutbah tentang akhlak buruk sesetengah umat Islam dalam menyifatkan kaum-kaum lain sebagai ‘musuh’ dan juga menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sopan terhadap kaum lain seperti insiden Baju Merah Jamal Yunos yang mempopularkan ungkapan ‘Cina Babi’.

Ungkapan sedemikian telah menjadi semacam lumrah dalam kalangan umat Melayu dan ini perlu ditegah dengan pesanan bahawa menyelar kaum lain adalah sebahagian daripada bencana lisan yang disebutkan Imam Ghazali. Perlu ditekankan, Imam Ghazali menggunakan perkataan ‘Bencana’ bagi mendiskripsikan perbuatan menyebut yang bersifat dosa kerana salah sebutan boleh menghumbankan kita ke neraka.

Ramai orang Melayu tidak ambil kisah tentang dosa ini kerana ia dianggap dosa kecil berbanding dosa minum arak, berzina atau membunuh. Tetapi bencana lisan boleh menjerumuskan kita ke neraka kerana kerosakannya bersifat sosial dan melibatkan orang lain.

Saya amat berharap pihak JAIS ‘memposterkan’ mesej-mesej daripada khutbah ini dan 'mewhatsappkannya' ke media sosial sebanyak mungkin agar kesedaran dalam kalangan umat Islam jadi berkesan. Penyebaran berita dan maklumat palsu serta fitnah bukan sahaja suatu dosa besar tetapi ia juga adalah suatu jenayah.

Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi tahniah kepada pihak JAIS dalam memodenkan khutbah Jumaat kepada sesuatu yang amat relevan zaman kontemporari ini serta suatu elemen bina-bangsa yang amat penting bagi keharmonian Malaysia

* Penulis ialah profesor seni bina di sebuah universiti swasta tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!